PRU-14 Platform Perubahan Untuk Pulau Pinang


BANJIR di Pulau Pinang adalah isyarat terpenting kepada penduduk negeri kepada pengambilan alih pemerintahan daripada pembangkang. Mereka jadi saksi dan tahu siapa lebih ikhlas dalam membantu mangsa banjir negeri.

DAP berulang kali mengecewakan rakyat sejak berkuasa mulai 2008 dan sekali lagi pada 2013. Rakyat harus menggunakan peti undi sebagai instrumen perubahan angin di negeri ini dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti. Bencana banjir di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang telah membuka mata banyak pihak bahawa kita boleh bersatu.

Aksi berpelukan spontan antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial seolah-olah menceritakan prihatinnya kerajaan BN terhadap penduduk Pulau Pinang walaupun di bawah pemerintahan pembangkang.

Maka, kerajaan negeri tidak boleh terus-terusan menuding jari meletakkan kesalahan kepada Kerajaan Pusat sekiranya berlaku bencana alam di negeri ini. Adalah silap kerajaan negeri sendiri yang tidak ikut garis panduan pembangunan di lereng bukit yang telah dikeluarkan pada 2009.

Tidak boleh salahkan cuaca kerana banjir

Kerajaan negeri itu sebaliknya mengguna pakai garis panduan keselamatan pembangunan lereng bukit yang dibuat sendiri pada 2012 dengan alasan yang dahulu tidak sesuai.

Kerajaan negeri tidak boleh menyalahkan cuaca setiap kali berlaku banjir. Mereka harus sedar, semakin banyak kawasan yang dahulunya tidak pernah dilanda banjir kini kerap ditenggelami air setiap kali berlaku hujan lebat.

Dikatakan 23 kejadian banjir kilat berlaku di seluruh Pulau Pinang bagi tempoh 2015 hingga setakat ini. Kesemua bencana ada kaitan dengan pembangunan hartanah, penarahan kawasan bukit dan lereng bukit yang tidak terkawal serta penambakan laut.

Sekarang banjir kilat lebih kerap berlaku dan setiap kali awan hitam di langit, rakyat Pulau Pinang menjadi khuatir banjir kilat akan berlaku. Kerajaan persekutuan membelanjakan RM2 bilion untuk projek kawalan banjir di Pulau Pinang menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 sebanyak RM1.493 bilion termasuk RM34 juta untuk pembersihan dan rawatan air Sungai Pinang, manakala peruntukan RM404.5 juta menerusi RMK 11.

Peruntukan RM150 juta untuk Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang juga diluluskan pada November 2016. Persoalan utama di sini, berapakah jumlah wang dibelanjakan kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengatasi masalah banjir sejak DAP memerintah pada 2008.

Banyak kali gagal tunai janji

Pulau Pinang memerlukan Pelan Induk Pencegahan Banjir lebih daripada Pelan Induk Pengangkutan kerana tidak berguna jika mereka membina jaringan jalan raya dan kemudahan pengangkutan darat jika jalan dan kenderaan sering tenggelam dalam banjir bila hujan lebat.

Kerajaan negeri banyak kali diselar kerana gagal menunaikan janji untuk mengatasi masalah banjir dalam tempoh sembilan bulan mentadbir negeri malahan pada tahun ini sahaja, ribuan penduduk terjejas selepas lebih 10 kali kawasan mereka dilanda banjir kilat.

Sekiranya kerajaan negeri sanggup berhabisan berjuta-juta untuk projek tertentu, kenapa mereka tidak boleh belanjakan jumlah sama untuk selesaikan masalah banjir?

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com