Program Back To School Bantu Anak Penoreh Baling


ALOR SETAR - Northern Versy Owner’s Group (NVOG) Bikers terpanggil untuk 'menziarah' Kampung Lanai ekoran kejatuhan harga getah termasuk cuaca tidak menentu menarik sejak kebelakangan ini.

Kehadiran itu bagi mengagihkan bantuan kepada 60 penoreh getah termasuk anak-anak mereka menerusi Program Back to School.

Ketua NVOG Baling dan Sik, Mohd Tamizi Nadzir berkata, golongan berpendapatan rendah terutama sekali bagi mereka yang hanya memperolehi pendapatan daripada menoreh pastinya merasa terbeban dalam menguruskan persekolahan untuk tahun hadapan.

Menurutnya, sumbangan diberikan hasil kutipan wang daripada ahli NVOG dan korporat.

“NVOG terpanggil untuk beri bantuan kepada 60 penerima termasuk pelajar bagi meringankan beban golongan penoreh yang terjejas dengan kejatuhan harga getah.

“Kita difahamkan tanaman komoditi itu kini diparas RM2.10 bagi sekilogram getah sekerap,” katanya.

Menurut Mohd Tamizi, setiap pelajar akan dihadiahkan pakaian sekolah yang lengkap, sementara waris pula akan dibekalkan dengan barangan dapur termasuk sedikit sumbangan wang tunai.

Tambahnya, pelajar turut diberikan suntikan motivasi supaya lebih bersedia menghadapi alam persekolahan akan datang.

“Mereka diberikan suntikan motivasi bagi menghadapi persekolahan tahun depan. Ahli NVOG dan korporat turut menekankan bab solat dan doa.

“Mudah-mudahan tahun depan ada lagi rezeki lebih untuk kita agihkan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika memberi sumbangan baru-baru ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com