PKR Cadang PPBM Bertanding Guna Logo DAP, PKR


ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dicadangkan supaya bertanding menggunakan logo parti DAP atau PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata, cadangan tersebut adalah alternatif bagi PPBM sekiranya parti itu gagal mendapatkan pengesahan dari Jabatan Perdaftar Pertubuhan (RoS) mengikut masa yang diperlukan.

"Kami diberitahu oleh Bersatu (PPBM) bahawa mereka belum mendapat pengesahan daripada Pendaftar Pertubuhan pada kedudukan mereka sekarang.

"Walaupun mereka diluluskan pada saat-saat akhir, kami tidak boleh jual (mempromosikan) logo mereka dalam masa yang singkat," katanya memetik laporan sebuah portal pro-pembangkang.

Justeru itu, Ahli Parlimen Sungai Petani itu mencadangkan pelan alternatif untuk PPBM bertanding di bawah logo parti sekutunya, sama ada PKR atau DAP.

Walau bagaimanapun, Johari memaklumkan ia hanya merupakan cadangan yang masih diperbincangkan dan berkemungkinan besar setiap parti dalam Pakatan Harapan akan bertanding menggunakan logo sendiri.

"Tetapi kami belum buat kesimpulan lagi. Cadangan di atas meja - kami gunakan satu atau dua atau tiga logo, atau ia mungkin berakhir setiap parti menggunakan logo sendiri," ujar beliau.

Ramai ahli dan pemimpin akar umbi PPBM sebelum ini tampil membuat aduan kepada RoS mendakwa pucuk pimpinan parti serpihan UMNO itu telah melanggar perlembagaan parti dan menuntut RoS campur tangan.

RoS dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan bahawa PPBM berdepan ancaman tidak mendapat kelulusan badan bebas itu sekiranya gagal memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Difahamkan bahawa antara syarat gagal dipatuhi PPBM sebelum ini adalah termasuk menganjurkan mesyuarat agung tahunan yang dikatakan hanya dihadiri oleh 12 ahli sahaja sekaligus tidak memenuhi korum yang ditetapkan.

Keadaan itu menjelaskan bahawa parti tersebut kini menghadapi masalah kekurangan ahli serta pengurusan yang meruncing, selain tindakan ribuan ahlinya yang bertindak meletak jawatan dan keluar parti.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com