PIBG Kota Setar Sokong Solat Berjemaah Sebelum Pulang Sekolah


POKOK SENA - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di daerah Kota Setar menyokong sepenuhnya peraturan mewajibkan sekolah menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena Yusoff Ishak berkata, amalan itu sudah lama dilakukan sekolah di Kedah serta mendapat sokongan kuat ibu bapa dan waris pelajar.

“Pihak kami senada dengan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang kesal dengan pihak tertentu yang mempertikaikan amalan mulia itu.

“Arahan itu tidak patut dipertikai kerana solat berjemaah sangat dianjurkan dalam Islam bagi membentuk modal insan dan melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti,” katanya dalam satu sidang media di SMK Pokok Sena di sini, semalam.

Sidang media dihadiri lapan YDP PIBG sekolah daerah Kota Setar bagi mengulas dasar pendidikan di Kuantan yang mewajibkan sekolah mengadakan solat berjemaah sebelum pulang ke rumah namun ditentang pihak lain.

YDP PIBG SMK Bukit Payung Syed Zain Syed Embun pula berkata, beliau berharap orang Islam yang cuba menyangkal arahan itu berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana dibimbangi terpesong akidah.

Katanya, adalah lebih baik ibu bapa atau waris yang tidak bersetuju dengan arahan itu berbincang dengan pihak sekolah atau menyuarakannya kepada PIBG.

“Ini sebagai cadangan kami supaya ibu bapa yang mungkin mempunyai kekangan masa untuk menunggu anak mereka di sekolah berbincang dengan guru. Kami yakin pihak sekolah akan faham dan memberi pelepasan untuk pulang selepas tamat sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Namun bagi kami di Kota Setar, ibu bapa berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pejabat Daerah Kota Setar atas komitmen ini,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com