‘Pengabdi Setan’ Karya Seram Genius Joko Anwar


FILEM: Pengabdi Setan

PENGARAH: Joko Anwar

PELAKON: Tara Basro, Bront Palarae, Endy Arfian, Ayu Laksmi, Nasar Annuz, M. Adhiyat, Dimas Aditya dan Elly D. Luthan

GENRE: Seram

DURASI: 117 minit

PENGEDAR: GSC Movies

TARIKH TAYANGAN: 23 November 2017

SEBELUM membuat keputusan menonton filem Pengabdi Setan yang mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 23 November lalu, penulis meluangkan sedikit masa untuk membuat penyelidikan tentang filem cereka keenam arahan pengarah handalan Indonesia, Joko Anwar ini.

Sejujurnya, penulis tidak pernah menonton filem asal Pengabdi Setan yang pernah mencetuskan polemik sewaktu ditayangkan di pawagam sekitar 37 tahun lalu di Indonesia.

Apa yang penulis tahu filem arahan Sisworo Gautama Putra itu bukan sahaja diangkat sebagai filem paling seram Indonesia pernah dihasilkan pada zaman itu, bahkan, popularitinya yang telah mencapai status cult classic itu turut mendapat perhatian peminat filem di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun sehingga diterbitkan dalam bentuk pita video dan cakera video digital (DVD).

Sebagaimana filem asalnya yang berjaya meninggalkan impak luar biasa kepada audiens di pawagam pada tahun 1980, versi baharu ciptaan Joko Anwar ini juga telah mencipta fenomena baharu untuk genre seram di Indonesia sebaik sahaja ditayangkan pada bulan September lalu.


Seperti biasa, penulis bukanlah seseorang yang akan membaca ulasan orang lain kerana tidak mahu terpengaruh.

Lalu, penulis meluangkan masa menonton Pengabdi Setan sekitar minggu lalu untuk melihat sendiri apakah versi Joko Anwar ini benar-benar seram seperti yang diperkatakan.

Pertamanya, untuk mereka yang belum berkesempatan menonton Pengabdi Setan, jangan menyangka ia adalah filem seram biasa (baca: filem seram Melayu Malaysia) yang telah dimomokkan kepada anda sejak bertahun-tahun lamanya.

Ini kerana penulis meletakkan Pengabdi Setan pada kedudukan yang cukup tinggi kerana ia bukan sebuah filem seram tipikal mahupun biasa seperti mana yang pernah ditonton sebelum ini.

Dalam erti kata lain, Pengabdi Setan benar-benar menepati definisi genre seram itu sendiri yang membawa audiens menerawang ke satu dunia yang berbeza dan tidak pernah terjangkau dek akal.


Pujian penulis terhadap Joko dan Pengabdi Setan bukan omongan kosong tetapi olahan dan versi Joko terhadap Pengabdi Setan telah mengangkat standard filem seram itu ke satu tahap yang cukup membanggakan sehingga mampu menyamai dengan filem Hollywood.

Lakon layar, warna dan emosi Pengabdi Setan itu sendiri benar-benar membuatkan penonton berasa yakin bahawa ia adalah satu realism yang berlaku di hadapan mereka.

Di sini terletaknya kebijaksanaan Joko sebagai penulis (dia juga membuat kemunculan istimewa di awal filem) yang bijak mencipta mood seram itu yang bukan hanya dari sudut naratif dan penceritaan tetapi ia juga turut disokong oleh aspek teknikal lain.

Pencernaan cerita Pengabdi Setan dapat dihadam dengan cukup mudah. Apatah lagi, ditambah pula dengan kecemerlangan aspek teknikal lain seperti penataan seni, skor muzik, sinematografi dan suntingan yang terus melengkapkan Pengabdi Setan sebagai sebuah hidangan lazat.

Sebagai seorang auteur yang dianggap genius dalam generasinya, Joko tahu apa yang perlu dititik beratkan dalam menghasilkan sebuah karya seram seperti mana yang dilakukannya terhadap Pintu Terlarang (2009) dan Kala (2007).

Bukan mahu memperkecilkan atau merendah-rendahkan karya seram tempatan, tetapi percayalah. Pengabdi Setan bukan filem bodoh kerana ia tidak memperbodohkan penonton dengan elemen murahan dan memualkan sehingga ia berubah menjadi sebuah filem komedi.

Jika hendak membandingkan Pengabdi Setan dengan filem tempatan yang memiliki rentak yang lebih kurang serupa, penulis harus katakan Pengabdi Setan mengingatkan penulis kepada filem seram, Rahsia (1987) arahan Othman Hafsham.

Pun begitu, selepas menonton Pengabdi Setan, penulis dapat merasakan acuan filem ini dibentuk daripada pengaruh filem arahan Roman Polanski, Rosemary’s Baby (1968) yang juga salah sebuah filem kegemaran penulis.

Ini diperkuatkan pada babak akhirnya yang dengan pantas mengingatkan penulis kepada keseluruhan jalan cerita Rosemary’s Baby.

Penulis tidak tahu sama ada ia dibikin sebegitu atau Joko mengambil inspirasi filem berkenaan atau barangkali satu kebetulan, tetapi walau bagaimanapun Pengabdi Setan tetap berada dalam kelasnya tersendiri.


Menyentuh aspek lakonan, penulis menyifatkan persembahan barisan pelakon filem ini wajar dikategorikan dalam Gred A.

Keseimbangan kesemua wataknya melengkapkan naratif Pengabdi Setan waima sekecil-kecil watak kerana setiap satunya meninggalkan impak dan ada peranan masing-masing.

Dalam erti kata lain, setiap satu wataknya penting dan bukan sebagai penyendal atau penyeri untuk sekadar melengkapkan jalan cerita kerana peranan mereka menyokong antara satu sama lain.

Dari satu sudut pandang yang lain, penulis melihat Joko bermain dengan metafora untuk mengungkapkan definisi popular hantu itu sendiri yang sebenarnya berlegar di sekeliling kita setiap hari. Cuma, sebagai manusia, hanya kita yang tidak nampak atau buat-buat tidak nampak sahaja.

Sekali lagi, untuk mereka yang mahu menonton Pengabdi Setan, ini peluang anda untuk menonton filem seram genius ini yang akan membuatkan anda merasai satu pengalaman seram berbeza.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017. Sebelum ini, penulis merupakan seorang bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com