Pekerja Kilang Maut Motosikal Bertembung Lori Di Kulim


ALOR SETAR - Seorang penunggang maut selepas motosikal bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Jalan Kulim - Mahang berdekatan Ladang Dublin, dekat sini kira-kira pukul 9.50 pagi semalam.

Mangsa Mohammad Alif Shazwan Mat Arif, 21, dari Kampung Tengah, Bukit Bertam, Rantau Panjang, Selama, Perak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk dialaminya kesan pertembungan jarak dekat dalam kemalangan itu.

Menurut sumber, mangsa cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal lalu bertembung dengan lori.

Bagaimana pun pemandu lori, Kamal Ibrahim,38, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang pekerja kilang dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya namun bertembung dengan lori dari arah bertentangan kerana jarak yang dekat.

“Lori tanpa muatan dari arah Mahang ke Kulim itu berada di laluannya dan tidak sempat mengelak motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang oleh mangsa dari arah bertentangan dipercayai kerana terlalu dekat jaraknya menyebabkan berlaku pertembungan.

“Akibat rempuhan itu, motosikal Mohammad Alif Shazwan putus dua dan dia yang mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badannya meninggal dunia serta merta,” katanya yang dipetik Utusan Online. 

Tambah Ahmad Nasir, mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kulim dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com