#PAU2017: Wanita Terus Diberi Penghormatan, 30% Akan Dilantik Senator Dewan Negara


KUALA LUMPUR - Golongan -wanita Malaysia akan terus diberi penghormatan dan dihargai  di atas sumbangan  serta pengorbanan mereka kepada usaha  membangunkan negara ini.

Sehubungan itu Perdana Penteri berkata kerajaan juga mahu melihat sekurang-kurangnya 30 peratus senator di Dewan Negara terdiri daripada golongan wanita.

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa pelbagai langkah disusun untuk memperkasakan mereka dan tiada siapa yang perlu ketinggalan dalam usaha memajukan Malaysia dengan lebih bermakna.

"Kita sememangnya mahu Malaysia maju sehingga mencipta kegemilangan dan kita berasa bersyukur dengan sokongan, dorongan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh wanita-wanita Malaysia," kata Perdana Menteri

Beliau  yang juga Presiden UMNO memberikan jaminan itu ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Wanita Dalam Politik 2017 (WPIKL) di Pusat Dagangan Dunia Putradi sini semalam. Persidangan itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2017) yang akan berlangsung hari ini  5 hingga 9 Disember ini..

Najib berkata sejak sekian lama, parti itu bergantung kepada sayap Wanita yang berjaya meyakinkan sokongan dan  mengekalkan jalinan rakyat  di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar.

"Dan itulah sebabnya Wanita UMNO dikenali sebagai tulang belakang parti," kata beliau mengenai komponen Wanita parti itu, yang mana UMNO banyak bergantung kepada pergerakan berkenaan bagi melakukan tugas asas pilihan raya dan berkempen serta melaksanakan inisiatif yang menumpu kepada rakyat.

Najib berkata kerajaan ingin melihat lebih ramai wanita menyertai politik kerana penyertaan mereka dapat mencerminkan pengundi dan menjadikan proses politik lebih inklusif, sekali gus memperkukuh demokrasi.

"Saya mahu melihat cadangan ini dilaksanakan. Itulah sebabnya saya berharap dapat memperoleh mandat yang kukuh dalam pilihan raya akan datang (bagi melaksanakan cadangan ini)," kata beliau.

Beliau berkata Malaysia mempunyai rekod yang kukuh berhubung hak wanita, dengan golongan wanita mengisi 35 peratus daripada jawatan pengurusan tertinggi di negara ini.

"Malah, saya diberitahu bahawa sekiranya perkhidmatan polis dan ketenteraan dikecualikan, pegawai wanita merupakan majoriti dalam perkhidmatan awam dengan mencatatkan kadar 57.5 peratus. Oleh itu, kita sedang menuju ke arah yang betul, tetapi kita mahu pergi lebih jauh lagi terutamanya di peringkat yang lebih tinggi," kata Najib.

Mengenai sasaran menjadikan 30 peratus wanita sebagai anggota lembaga pengarah syarikat senarai awam (PLC), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata: "Saya telah memberi amaran bahawa mulai tahun depan, kerajaan akan menamakan dan memalukan PLC yang tidak mempunyai wanita sebagai anggota lembaga pengarahnya. Saya sudah memberi amaran bahawa mereka mungkin tidak diberikan kontrak kerajaan."

Beliau menjelaskan bahawa strategi untuk meningkatkan bilangan wanita dalam jawatan pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah syarikat-syarikat bertujuan mengukuhkan lagi keupayaan.

"Ia bukan sekadar isu jantina, atau memastikan budaya dan amalan kita tidak berunsur diskriminasi. Ia adalah tentang produktiviti," kata beliau.

Najib menarik perhatian bahawa sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri pada 2009, kadar penyertaan tenaga kerja wanita meningkat daripada 46 peratus kepada 54.3 peratus pada 2016 - dengan lebih 700,000 wanita menyertai tenaga kerja.

"Penting bagi kita untuk memanfaatkan IR 4.0 dengan menggalak dan melahirkan lebih ramai usahawan wanita kerana kemajuan teknologi hari ini memberi lebih manfaat kepada mereka," kata beliau.

Turut hadir pada persidangan itu  yang bertema 'Wanita dan Revolusi Industri (IR) 4.0: Kepimpinan dan Kesaksamaan Substantif' ialah Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi WIPKL 2017 yang juga Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. - Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com