#PAU2017: Sayap UMNO Sambut Cabaran Pucuk Pimpinan Hadapi PRU14



KUALA LUMPUR - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini menyambut cabaran pucuk pimpinan parti untuk memikul amanah bagi mempastikan Barisan Nasional (BN) memenangi dua pertiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Mereka berikrar untuk melaksanakan tugas serta mandat khas yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan parti untuk saling bekerjasama dan bertindak menarik pengundi muda dan baharu untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Sebelum itu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 'membakar' semangat  ketiga sayap parti itu supaya mempertahankan kuasa yang ada dan menegaskan bahawa UMNO/BN perlu menang besar.

"Kita mesti utamakan parti dan mengketepikan soal berkecil hati,  merajuk dan sabotaj parti kerana ia hanya akan melumpuhkan gerak kerja kita," kata Ahmad Zahid yang menjalankan tugas selaku Timbalan Presiden UMNO.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin ketika menyahut seruan itu berkata pergerakan itu diberi tanggungjawab bagi memastikan sokongan besar pengundi lelaki Melayu bawah 40-an yang dianggarkan sekitar 1.9 juta orang, meyakini BN dan UMNO.

"Selaku benteng hadapan UMNO, kami juga dikehendaki membantu menyebarkan maklumat dan memerangi fitnah pihak lawan sewaktu tempoh berkempen kelak," katanya.

Sementara dalam taklimat presiden juga telah diperingatkan betapa pentingnya Pemuda  bersiap sedia daripada sekarang serta menerapkan mentaliti boleh menang, kata Khairy kepada wartawan selepas Perasmian Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO semalam.

 Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menyatakan, amanat Ahmad Zahid menjadi suntikan semangat yang sangat bermakna kepada ketiga-tiga sayap kerana ia merangkumi harapan pengundi, terutamanya bangsa Melayu terhadap parti keramat itu.


Sementara itu Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan pergerakan itu akan mengoptimumkan pendekatan tradisi mereka iaitu turun padang dan bertemu pengundi secara 'person-to-person' menjelang PRU.

Wanita UMNO juga akan bertindak sebagai mata dan telinga rakyat untuk mengetengahkan segala kemusykilan dan permasalahan kepada kerajaan, katanya.

"Kita kini di fasa terakhir sebelum PRU dan Wanita UMNO berikrar akan meningkatkan gerak kerja kerana PRU14 adalah raja segala pilihan raya 'and we really take our job seriously'," katanya.

Turut menyambut saranan pucuk pimpinan parti itu Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut beliau ucapan Ahmad Zahid antara lain menitikberatkan semangat kebersamaan antara anggota UMNO yang perlu dijadikan keutamaan.

Katanya saranan itu amat wajar dan anggota UMNO perlu mengetepikan kepentingan dan agenda peribadi demi kelangsungan parti pada masa akan datang.

"Beliau (Ahmad Zahid) menuntut Puteri untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab bersama Wanita dan Pemuda membantu parti dalam PRU14 .

"Insya-Allah bagi pihak Puteri, kami akan memperkuat gerak kerja terutamanya dalam memenangi undi golongan wanita muda," katanya.

Sebelum itu Ahmad Zahid menghargai peranan Wanita dan Puteri UMNO kerana sentiasa taat dan tidak pernah derhaka dan tidak goyah mengikat kesetiaan mereka kepada  Presiden UMNO.

Menurut Ahmad Zahid  naluri wanita adalah naluri keibuan dan tidak mungkin seorang ibu meninggalkan keluarganya ketika susah. Tidak mungkin seorang ibu membiarkan keluarganya berpecah kerana fitnah.

Ahmad Zahid juga yakin dengan Puteri UMNO yang terus melaksanakan kepedulian mereka terhadap akar umbi. -Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com