#PAU2017: Puteri UMNO Juga Cadang Jawatan Presiden, Timbalan Tidak Dicabar


Pergerakan Puteri UMNO juga turut mencadangkan jawatan nombor satu dan dua parti, yang disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang.

Ketua sayap itu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kedua-dua pemimpin berjiwa besar itu harus dikekalkan dan diberi ruang untuk terus berganding memantapkan parti dan negara.

"Gandingan kedua-duanya bagai aur dengan tebing," katanya yang mengemukakan cadangan itu semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam

Mas Ermieyati berkata mereka di akar umbi sentiasa berdoa agar politik matang dan kesepaduan yang terjalin antara Najib dan Ahmad Zahid akan bertambah kukuh.

"Ini akan memberi kesan positif kepada perkembangan dan kestabilan setiap peringkat dalam parti," katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati menegaskan bahawa Puteri UMNO akan terus setia menyokong kepimpinan Najib selaku Presiden UMNO.

Beliau berkata pergerakan itu turut menyanjung kesetiaan dan kesungguhan Ahmad Zahid, yang menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden UMNO, dalam membantu Najib.

"Puteri UMNO juga berasa bertuah mempunyai Ahmad Zahid yang sentiasa wala di belakang Presiden UMNO. Semangat juangmu itu akan kami jadikan teras dan akan kami contohi," kata Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

- Bernama.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com