#PAU2017: Pemimpin UMNO Diminta Akur Keputusan Presiden Pilih Calon PRU14


KUALA LUMPUR - Seluruh kepimpinan pergerakan sayap dalam UMNO diminta akur dengan keputusan Presiden UMNO dalam menentukan siapa sahaja calon yang akan dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh ahli dan pemimpin parti sepakat serta menerima sepenuhnya keputusan Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Basrisan Nasional.

Ahmad Zahid yang memangku tugas Timbalan Presiden UMNO mengingatkan agar ahli dan pemimpin parti menghayati konsep "jiwa jama'ie", iaitu  belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan.

"Jauhilah sikap buruk seperti mencari "personal glory" (mementingkan kegemilngan diri). Kita berjuang demi parti dan agenda arjana bangsa. Kita perlu melangkah sebagai suatu pasukan yang mantap," kata Zahid mencontohi analogi permainan sepak takraw, ada menjadi tekong, ada jadi tukang lambung (feeder) dan ada tukang libas!

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan  Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO  (PAU 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Sementara itu  Ahmad Zahid menegaskan, bakal calon PRU14 akan melalui 14 piawaian sebelum dipilih dan tapisan tersebut bertepatan dengan politik ketertiban yang diamalkan UMNO yang bermula dengan memilih pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan.

Menurut Naib Presiden UMNO  keutamaan pemilihan antaranya berdasarkan kewibawaan, dinamik dan kematangan calon selain merangkumi aspek boleh menang, disukai, berkeupayaan, dipercayai dan bijak.

"Saya akui aura kepimpinan paling sukar ditemui ialah disukai kerana apabila seseorang itu terpilih menjadi calon pasti ada yang cemburu padanya, " kata Ahmad Zahid.

Menurut Ahmad Zahid gerbang PRU-14 kian menghampiri dan daripadai hitungan 'eddah' politik, tempoh tamat penggal ini akan berakhir pada Jun 2018.

"Kita tidak boleh lari dari jeda masa itu, kita akan turun ke gelanggang sederap serentak. Datanglah Januari, datanglah Mac, atau bulan apa pun, kita akan hadapinya. Yang penting, kita harus memiliki mentaliti untuk menang. Ia bukan sekadar konsep, bukan sekadar falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan, " ujarnya lagi.

Menurutnya UMNO tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun! Obor perjuangan yang dibawa bersama persis kisah Tariq Ibni Ziyad yang tidak lari dari peperangan akan diterjemahkan. Namun, berpaling tidak sama sekali!

"UMNO tidak boleh kalah! BN tidak boleh tewas! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! Putrajaya akan terus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional," tegas Ahmad Zahid membakar semangat para perwakilan ketiga sayap parti itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com