#PAU2017: Annuar Tegaskan 3 Tonggak Jatidiri Perjuangan Sebenar UMNO


ALOR SETAR - Keistimewaan peribadi Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang merendah diri bersahabat dengan pemimpin akar umbi parti menjadi punca kepada kegagalan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menjatuhkan beliau.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, bekas Perdana Menteri itu pernah menjatuhkan kepimpinan utama parti sebelum ini termasuk bekas penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun gagal untuk menjatuhkan Mohd Najib.

Malah tegas beliau, kesetiaan yang tinggi dalam kalangan kepemimpinan dan ahli UMNO kepada parti merupakan kunci penyebab kepada kegagalan Mahathir menjatuhkan Mohd Najib sehingga saat ini.

"Kenapa Dr Mahathir menyangkakan dia boleh menjatuhkan Najib, tetapi Presiden kita tetap tidak jatuh.

"Sedangkan, sebelum ini dia berjaya menjatuhkan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), Musa (Tun Musa Hitam), (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Pak Ghaffar (Tun Abdul Ghafar Baba) dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

"Perbezaannya ialah Najib berkawan dengan kepemimpinan di bawah dan menjadi satu saf persahabatan dalam perjuangan yang sama," katanya ketika berucap pada Konvensyen Penerangan Dan Media 2.0: Istiqamah Dalam Perjuangan di sini, semalam.

Turut hadir di konvensyen berkenaan adalah Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Othman Abdul dan Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Shahbudin Yahya.

Selain itu, Annuar turut mengakui pimpinan Mohd Najib tidaklah sempurna kerana beliau bukan seorang yang maksum, namun begitu kepemimpinan Perdana Menteri itu adalah lebih terbuka dan demokratik berbanding ketika zaman Mahathir.

"Zaman saya dalam kabinet dulu bersama Dr Mahathir, nak bertanding Presiden kena ada kuota pencalonan. Itu pun semasa berpecah dengan Semangat 46, separuh ahli sudah ditendang keluar dan tinggal kumpulan kita saja masa itu, pun masih dikawal begitu rupa.

"Apabila Najib jadi Presiden UMNO, tidak ada lagi kuota pencalonan. Malah, siapa nak bertanding, isi borang saja dan boleh bertanding. Pemimpin dan Presiden UMNO paling demokratik sepanjang ingatan saya adalah Najib," katanya, memetik laporan BH Online.

Annuar turut menegaskan bahawa ahli UMNO dewasan ini perlu diisi dengan penghayatan semangat jati diri yang tinggi serta roh perjuangan kerana Allah SWT serta kepentingan bangsa dan tanah air tanpa mengutamakan mana-mana individu.

"Saya ini orang Dr Mahathir, jadi menteri zaman dia, diangkat oleh dia, saya setia pada dia. Tetapi, bila Dr Mahathir meninggalkan UMNO, saya tinggalkan dia demi perjuangan dan ketaatan pada parti.

"Saya dibawa dalam politik oleh Ku Li, saya dibenarkan oleh Ku Li menjadi jurucakap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 1981-1982, datang ke politik nasional kerana Ku Li, mula jadi calon kerana Ku Li.

"Tetapi apabila Ku Li tinggalkan UMNO untuk Semangat 46, saya tinggalkan Ku Li. Bukan kerana kurang sayang saya pada dia, tetapi kerana lebih sayang pada UMNO," katanya.

Terdahulu, Annuar mengingatkan ahli UMNO bahawa parti itu hakikatnya ditubuhkan kerana Allah dan meneruskan perjuangan mengangkat agama sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

"Ketika nak Merdeka, UMNO letakkan Perkara 3 dalam Perlembagaan negara dan selepas Merdeka, kita isi segala tuntutan terhadap umat Islam," ujar beliau. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com