#PAU 2017: PPBM Tidak Berjuang Untuk Bela Islam, Melayu


Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dikecam kerana tergamak bersubahat dan bersekutu dengan musuh politik dan musuh prinsip hanya untuk memenuhi tembolok agenda kepentingan peribadi dan keluarga.

Sememangnya, pepatah lama sudah menyebut, mana mungkin minyak dan air bersatu.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dahulu Dr Mahathir di pentas UMNO mengingatkan ahli-ahli parti mengenai Melayu mudah lupa tetapi kini, jelas ungkapan itu merujuk kepada dirinya sendiri.

Sebaliknya menurut Presiden UMNO itu, orang -orang yang tetap berpegang kepada roh dan falsafah perjuangan parti tidak sesekali menjadi Melayu yang mudah lupa seperti mereka.

Sementara itu ujar Perdana Menteri, tiada ‘nilai’ perjuangan yang dibawa oleh  Parti Pribumi Bersatu Malaysia .

Menurut Najib, PPBM kononnya mahu berjuang untuk Melayu dan Islam, tapi dalam masa yang sama sanggup pula bersekongkol dan diperalatkan oleh DAP yang terang-terang anti kepada Melayu dan anti Islam.

“Parti ‘Bunga Raya’ (PPBM) ini, bukan nak mengata, maaf cakaplah,... kita tidak nampak di mana nilai yang cuba dibawanya.

“Katanya ingin berjuang untuk orang-orang Melayu dan Islam, tetapi berpakat dan sedang dijadikan ‘perkakas’ oleh DAP yang mereka sendiri dulu kata terang-terang anti Melayu dan Islam," kata Presiden UMNO itu lagi.

Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 bertajuk “UMNO pelaksana wasiat pusaka, harapan sejati kesejahteraan,” di Dewan Merdeka PWTC, hari ini.

Sementara itu, Najib terus menempelak Dr. Mahathir kerana melabel orang Bugis sebagai keturunan lanun.

Katanya ketika kepimpinan UMNO yang menunjang kerajaan menyeru ke arah kesepaduan nasional dan saling hormat menghormati antara kaum, pihak pembangkang pula, semakin sempit sudut pandang politik, berkaitan etnik dan kaum.

“Di sisi kerajaan, tidak kiralah apa keturunan etnik bangsa, pada kita, keseluruhan lebih 32 juta rakyat negara ini adalah anak-anak 1Malaysia.

“Bertambah pelik lagi, seorang bekas Presiden UMNO (Dr Mahathir) sendiri yang kini pemimpin utama parti pembangkang, masih terperangkap dalam kerangka pemikiran penjajah, sehingga sanggup mencerca etnik keturunan Bugis,” katanya.

“Ini melihatkan betapa rendahnya akal budi yang sedemikian ini sedangkan UMNO meraikan kepelbagaian etnik dan rumpun Melayu, waima, ‘Mamak Malabari’ dari ‘Kerala’ pun kita sudah iktiraf masuk Melayu dan tidak pulak kita suruh pulang,” katanya.  - Kedahnews.com




No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com