Papa Gomo Berjaya Bayar Saman Anwar Hampir RM1 Juta


KUALA LUMPUR - Pengendali blog Papa Gomo akhirnya berjaya melangsaikan pembayaran ganti rugi berjumlah RM951,260.30 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ganti rugi itu adalah seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi, pada 28 Februari 2014 selepas Anwar menang saman fitnah terhadap Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Peguam Irna Shahana Samsudin yang mewakili Papa Gomo ketika ditemui, berkata anak guamnya membayar RM950,000 dalam bentuk bank deraf dan selebihnya RM1,260 secara tunai menggunakan not RM1 dan syiling 30 sen.

Peguam itu berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk Anwar menarik balik petisyen kebankrapan yang difailkan terhadap anak guamnya.

Beliau berkata demikian selepas prosiding petisyen kebankrapan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Husna Dzulkifli. Anwar memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Papa Gomo pada 30 Jun lalu selepas blogger itu gagal membayar ganti rugi seperti diperintahkan mahkamah.

Sementara itu, Papa Gomo berkata, beliau menerima sumbangan daripada ahli UMNO Bahagian Wangsa Maju dan penyokongnya selepas mengadakan kutipan selama tiga bulan.

Katanya, beliau sebelum itu cuba memohon kepada peguam Anwar untuk membayar ganti rugi secara ansuran, bagaimanapun ditolak.

Pada 28 Februari 2014, mahkamah memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada Anwar (plaintif) berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Anwar memfailkan saman itu pada 21 Mac tahun 2013, dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, pemilik laman blog www.papagomo.com menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web itu pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.

Dalam penyata tuntutannya, Anwar mendakwa defendan turut meletakkan satu pautan web yang memaparkan siri imej, dan defendan secara nyata dan tersirat menyatakan bahawa individu dalam imej itu ialah plaintif.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com