PAN Kedah Tempelak Kuin Sebagai Institusi Gagal


ALOR SETAR - Beberapa hari lalu, rakyat Kedah dikejutkan dengan perancangan kerajaan negeri untuk memindahkan 106 penuntut Kuliyyah Perubatan dan Sains Kesihatan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kepada Cyberjaya University College Of Medical Science (CUCMS).

Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mendakwa pengurusan Kuin tidak mempunyai pilihan melainkan memindahkan pelajar terbabit serta pensyarah ke CUCMS bagi menurunkan kos operasi.

“Menguruskan fakulti perubatan bukan mudah. Apatah lagi Kuin masih baru dalam fakulti ini, pengambilan pelajar perubatan yang dibenarkan adalah kecil jumlahnya berbanding kos diperlukan bagi setiap pelajar adalah tinggi,” katanya.

Bekas Exco kerajaan negeri bawah kerajaan Pakatan Rakyat itu berkata, hanya dengan kewangan yang mencukupi dan pengurusan kewangan yang baik sahaja boleh memastikan fakulti perubatan berjalan lancar.

“Kuin diketahui tidak mempunyai ciri-ciri itu, malah dilanda krisis pengurusan dan kewangan sejak sekian lama sehingga pada satu peringkat gagal mencarum wajib Socso dan KWSP selama beberapa tahun,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja tiada perubahan besar untuk menangani masalah itu, namun situasi dilihat semakin buruk kebelakangan ini.

“Kemuncak kepada krisis adalah apabila Kuin terpaksa memindahkan bebanan kos operasi fakulti perubatan kepada CUCMS yang disebutkan sebagai kerjasama pintar oleh Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

"Secara ringkasnya, kos operasi akan ditanggung CUCMS, dengan perkongsian keuntungan 30:70 manakala sijil tertera cop Kuin dan pelajar boleh membuat pilihan untuk konvokesyen di Kuin atau CUCMS,” katanya.

Ismail berkata, setakat ini, pengambilan pelajar perubatan yang baharu turut dibekukan sehingga mendapat sijil Agensi Akreditasi Malaysia (MQA).

“Ini adalah kelemahan Kuin dalam menguruskan sebuah fakulti perubatan yang berprestij” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com