Padah Tayang Gambar Punggung Di Kuil, 2 Pelancong Amerika Ditahan


BANGKOK - Dua pelancong Amerika ditahan kerana ‘berkelakuan tidak sopan’ apabila berkongsi gambar mereka menayangkan punggung di sebuah kuil terkenal di Bangkok, kata polis Thailand kelmarin.

Joseph dan Travis Dasilva, 38, memuat naik ke Instagram, gambar punggung mereka pada 24 November lalu di Wat Arun. Tidak jelas sama ada dua lelaki itu mempunyai hubungan persaudaraan.

Perbuatan mereka itu membawa padah apabila polis memburu mereka dan mungkin mendakwa mereka mengikut undang-undang jenayah siber yang membawa hukuman penjara.

Menara kuil berkenaan antara mercu tanda utama Bangkok dan dipaparkan dalam logo Lembaga Pelancongan Thailand.

Dua lelaki terbabit ditahan di lapangan terbang Bangkok lewat kelmarin dan didenda AS$150 (RM612) setiap seorang.

Jurucakap polis imigresen, Kolonel Cherngron Rimpadee berkata: “Mereka ditahan ketika cuba meninggalkan Thailand.”

Sementara itu, ketua polis balai berhampiran kuil berkenaan, Kolonel Jarupat Thongkomol berkata, dua lelaki itu kini berdepan tuduhan lebih serius.

“Kami memohon perintah mahkamah untuk mendakwa mereka mengikut Akta Jenayah Komputer kerana memuat naik gambar porno,” katanya.-AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com