Orang PAS Dan UMNO Di Kedah Memang Mesra, Kecuali Di Zaman Mahathir - Veteran PAS


ALOR SETAR - Meskipun PAS dan UMNO selama ini dianggap seteru tradisi di persada politik negara, namun rakyat Kedah tidak terkesan dengan sentimen pepecahan ummah itu kecuali di zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ekoran pendekatan Mahathir yang dulu dilihat terlalu memusuhi PAS dan lebih mementingkan pengaruh politik berbanding pertalian ukhuwah sesama Islam, beliau telah mengundang perbalahan besar antara ahli kedua parti di zaman tersebut.

"Sejak dari zaman merdeka, orang PAS dan UMNO tidak pernah bergaduh. Tapi bila tiba zaman Mahathir jadi Perdana Menteri, permusuhan antara orang PAS dan UMNO di Kedah ini ketara berlaku.

"Mungkin tidak melibatkan semua kawasan, tapi boleh kata separuh daripada orang Melayu Islam kita di Kedah ini bermusuh. Kenduri pun tak jemput. Kalau dijemput pun, tak hadir. Ada yang lebih ekstrim di beberapa kawasan, termasuk di Baling.

"Sedangkan kita semua tahu pepecahan ummah itu ditegah oleh Islam, bukan?," kata seorang aktivis veteran PAS tegar, mengimbas kenangan zaman mudanya.

Menurutnya, akibat pendekatan melampau Mahathir itu telah mencetus reaksi balas yang tegas dari kepimpinan PAS sehingga membawa kepada lahirnya "Amanat Hj Hadi" yang terkenal pada era awal 80'an.

Tegasnya, sekiranya pendekatan Mahathir tidak melampau terhadap PAS, tidak mungkin Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini merupakan Presiden PAS akan melahirkan amanatnya sehingga disalah tafsir oleh ramai pihak, termasuk ahli partinya sendiri.

"Kenapa PAS begitu memusuhi UMNO ketika itu sedangkan kedua pihak tidak pernah bermusuh sehingga ke tahap tersebut sebelum Mahathir jadi Perdana Menteri?

"Tiga kali PAS kemukakan draf hudud. Tapi Mahathir tolak semua draf itu mentah-mentah. Jika ada kelemahan, kenapa tidak berbincang untuk atasi kelemahan itu? Draf itu bukan untuk politik, tapi demi kepentingan hukum Allah!," tegas veteran PAS tersebut.


Katanya, ia adalah sangat berbeza dengan pendekatan Perdana Menteri sekarang, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang dilihat lebih mesra dengan dasar dan perkara yang diperjuangkan PAS selama ini.

Jelasnya, terdapat perbezaan yang amat ketara antara sikap Mahathir dan Najib terhadap PAS, sekaligus menyaksikan tindak balas yang berbeza juga terhasil serta memperbaiki hubungan ukhuwah yang selama ini tegang sesama ummah.

"Bukan nak puji Najib. Tapi bila kita bawa draf hudud, Najib terima dan sediakan platform untuk kita teliti bersama, bincang untuk atasi kelemahan yang ada. Najib tak macam Mahathir yang tolak mentah-mentah usaha nak laksana hukum Allah.

"Hasilnya, maka lahirlah usul pindaan RUU 355. Atas sebab tertentu, TG Abdu Hadi bentang dalam Parlimen. Itu tak perlu dipersoal, asalkan pindaan itu dapat dibentang, maka ia adalah langkah pertama yang berjaya dilaksana bersama.

"Bila akan dibahas dalam Parlimen, kita serahkan pada Allah. Yang penting, bila sudah dibentang, maka sudah tentu wajib dibahas. Rencana Allah bukan kita boleh sanggah, sudah tentu ada hikmah di sebaliknya. Sabarlah sikit," ujarnya lagi.

Menariknya, veteran PAS yang sudah lama berkecimpung memperjuangkan parti itu memberitahu bahawa hubungan antara orang PAS dan orang UMNO di negeri ini kembali mesra selepas keluarnya pihak tertentu yang menjadi 'parasit' di dalam parti itu.

Katanya, sejak PAS berjaya membersihkan parti dari dalam dan lahirnya PAN, hubungan ukhuwah antara orang PAS dan UMNO kembali beransur pulih dan terjalin mesra seperti sebelum zaman Mahathir berkuasa.

"Alhamdulillah, kita orang PAS dan UMNO di sini sudah tidak lagi bermusuh. Jangan kata kenduri, kalau banjir ribut pun sama-sama bantu. Aku bantu hang, hang bantu aku. PAS atau UMNO kita tolak ketepi.

"Itulah yang Islam dan Rasulullah SAW ajar kita. Saya harap ia akan kekal begitu hingga hari kiamat. Soal pilihan raya, kita tetap berentap, tapi ukhuwah tetap terjalin dengan baik. Insha Allah, kita mencari keredhaan Allah bersama," katanya lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com