Orang Kedah Hanya Pilih PAS Atau UMNO Sahaja - Aktivis Veteran PAS


ALOR SETAR - Rakyat Kedah hanya menerima UMNO atau PAS saja dalam kamus politik untuk mentadbir Kerajaan Negeri ini berbanding parti lain seperti DAP, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR.

Kedua parti terbesar Melayu beragama Islam itu dilihat sudah sebati dengan rakyat di negeri ini bersesuaian dengan demografinya yang majoritinya mencecah lebih 80 peratus populasi berbangsa Melayu dan beragama Islam.

"Bukanlah mahu memperkecilkan parti lain. Namun begitulah tradisinya di Kedah. Hanya UMNO dan PAS sahaja yang dapat diterima.

"DAP memang ditolak, manakala parti serpihan seperti PKR, PAN dan PPBM memang kurang dapat sambutan," kata seorang aktivis veteran PAS di Kedah yang enggan dikenali, di sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan lima pemimpin Srikandi PPBM yang keluar parti baru-baru ini, ia merupakan suatu perkara yang tidak mengejutkan kerana PKR juga pernah menghadapi pengalaman yang serupa.

Katanya, PKR juga sama seperti PPBM yang merupakan serpihan UMNO dan sebelum ini terpaksa bergantung ehsan daripada DAP dan PAS untuk meneruskan survival mereka dalam persada politik negara.

"Dulu PKR pun sama. Mujurlah ada PAS membantu. Jika tidak, tak ke mana juga. Sekarang mereka hanya bergantung pada DAP, PAS sudah serik.

"Sama juga macam PPBM, parti ini terpaksa bergantung pada DAP, PKR dan PAN. Tanpa semua parti itu, maka 'pendek nyawa'lah mereka. Tak boleh cari makan di Kedah," katanya.

Selain itu, aktivis veteran PAS itu turut menganggap PPBM dan PAN merupakan dua parti yang "serupa walaupun tidak sama".

Katanya, walaupun kedua parti itu serpihan UMNO dan PAS, namun keduanya merupakan "parasit" yang merosakkan parti dari dalam serta merbahaya sekiranya dibiarkan terus membarah di dalam kedua parti berkenaan.

"Jika PAN khianati PAS, maka sama juga PPBM khianati UMNO. Jika orang PAS macam saya mengganggap PAN pengkhianat dalam perjuangan PAS, maka samalah orang UMNO menganggap PPBM sebagai pengkhianat kepada perjuangan mereka.

"Kedua parti ini mempunyai ciri dan sifat yang sama. Keduanya bergantung harap kepada DAP untuk 'hidup'. Keduanya khianat pada perjuangan asal parti dan keduanya mengejar kuasa.

"Dakwaan 'berjuang untuk rakyat' itu hanya retorik politik untuk mengabui mata rakyat saja," ujarnya lagi.

Menurutnya, gara-gara latar belakang dan ciri-ciri yang terdapat pada PAN dan PPBM itulah yang akan membuat rakyat Kedah tidak dapat menerima kedua parti itu kecuali bagi mereka yang mempunyai agenda serta kepentingan politik peribadi.

Justeru itu katanya, tidak hairan jika PAN dan PPBM tidak mendapat tempat di hati majoriti rakyat Kedah dan ramai yang sebelum ini menyertai kedua parti berkenaan bertindak meninggalkan parti serpihan tersebut.

"Jika tidak percaya, tunggu sajalah PRU ke-14. Hanya PAS dan UMNO saja yang mampu 'hidup' di Kedah. Calon Pakatan Harapan mungkin ada yang menang, tapi hanya sekadar satu dua kerusi saja, insha Allah," katanya penuh yakin. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com