Neelofa Mohon Maaf Sekiranya Dilihat Berlagak


PELAKON, Neelofa mohon maaf sekiranya ada yang menyifatkan cara layanan terhadap penyanyi lagu Tak Tun Tuang, Upiak Isil menerusi program Meletop, baru-baru ini dilihat ‘berlagak’.

Menurut pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, beliau sememangnya tidak berniat pun untuk berbuat demikian apatah lagi merendah-rendahkan taraf penyanyi Indonesia berkenaan.

“Jika diikutkan, ketika mengacarakan program itu bersama Nabil Ahmad, kami sangat seronok menemubualnya. Kami ketawa kerana dia memang seorang yang kelakar dan spontan.

“Saya sendiri tergelak besar apabila dia memaklumkan sudah pun ada 19 album, tetapi satu saja yang laku di pasaran,” kata Lofa dipetik Berita Harian.

Jelas Lofa lagi, beliau sebenarnya tidak faham akan bahasa yang digunakan Upiak kerana loghat tersebut sangat pekat sehinggakan beliau terpaksa mengulang soalan sebanyak beberapa kali.

“Karakter dia sendiri sangat berwarna. Saya sebagai pengacara pula cuba memberikan reaksi terbaik terhadap setiap tetamu yang diundang ke program itu.

“Jika ada yang salah anggap dan nampak diri ini kasar atau bersikap kurang ajar, saya dengan rendah hati memohon maaf,” katanya lagi.

Dalam pada itu Lofa berkata lagi, MeleTop adalah program yang bersifat santai dan kehadiran Upiak bagai memberikan gambaran terhadap apa yang mahu ditunjukkan menerusinya.

“Program ini sangat santai. Saya tak perlu jadi formal dan mengikut protokol. Jadi, sebagai hos, saya mahupun Nabil cuba untuk tidak terlalu mencuba menentukan rentaknya.

Kita sebaliknya cuba mengikut aliran tetamu yang diundang,” ujar heroin drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com