My Best Buy FAMA Bantu Usahawan Tani Di Kedah


ALOR SETAR – Penganjuran program My Best Buy oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diadakan di Sungai Petani pada 2 Disember dilihat bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pengguna malah membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk masing-ma­sing.

Pegawai FAMA Bakar Arang, Mohd. Fauzi Hashim berkata, pe­nganjuran program tersebut membolehkan usahawan tempatan mengambil peluang memasarkan produk di kawasan mereka secara terus kepada orang ramai.

“Kira-kira 50 usahawan tani mengambil bahagian untuk menjual barangan segar pada harga yang lebih murah antara lima hingga 20 peratus berban­ding harga pasaran secara terus kepada pengguna.

“Program ini memberi peluang juga kepada orang ramai boleh melihat dan membeli apa sahaja produk pertanian, ternakan, perikanan dan sebagainya yang disukai dengan harga murah itu,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Online.


Tambahnya, usahawan tani terlibat memberi kerjasama dengan menjual barang-barang keperluan pada harga murah dan berpatutan yang mana menepati objektif penganjuran program My Best Buy berkenaan.

Pada masa sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Su­ngai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff ketika me­rasmikan program itu berkata, langkah diambil FAMA untuk membantu masyarakat mendapatkan barangan pada harga lebih murah adalah amat baik.

“Saya berharap program begini diperluaskan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara mulai tahun depan. Jika dapat dilaksanakan, soal kos sara hidup yang semakin mencabar pada masa kini dapat dikurangkan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, pihaknya kini sedang berusaha untuk mengadakan jualan My Best Buy di setiap DUN pada setiap minggu bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada program anjuran FAMA terbabit. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com