Mustahil Khalid Mampu Bantu PAS, UMNO Rampas Selangor - Ahli Parlimen PKR Sg Petani


ALOR SETAR - Hasrat bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu berganding bahu dengan PAS dan UMNO untuk menumbangkan rejim Pakatan Harapan di Selangor dianggap tindakan yang mustahil untuk dilakukan.

Ahli Parlimen (PKR) Sungai Petani, Dato' Johari Abdul berkata, Khalid boleh cuba untuk jatuhkan Pakatan Harapan di negeri itu, namun ia merupakan satu gerakan yang amat sukar untuk direalisasikan.

"Untuk jatuhkan Pakatan Harapan di Selangor ini, dia boleh cubalah. Tapi ia sukarlah," katanya kepada sebuah portal, hari ini.

Walau bagaimanapun, Johari berkata, atas demokrasi yang menjadi amalan di negara ini, beliau mengucapkan tahniah kepada Khalid atas hasratnya itu, namun perlu sanggup menerima sebarang risiko yang bakal dihadapi.

"Itu pilihan Tan Sri (Khalid)... Ini negara demokratik, Tan Sri boleh menyokong mana-mana pihak.

"Tapi serangan yang akan datang ini suatu yang teramat-amat luar biasa. Jadi saya tidak ada komen apa-apa selain mengucapkan selamat kepada Tan Sri, itu saja," katanya memberi amaran kepada bekas Menteri Besar Selangor itu.


Khalid semalam memberitahu media bahawa beliau akan turun padang membantu PAS dan UMNO untuk menewaskan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor, pimpinan Dato' Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. 

Beliau sebelum itu difahamkan telah menghadirkan diri ke Muktamar PAS dan Konvensyen UMNO Selangor, sekaligus berikrar untuk membantu kedua parti Melayu Islam terbesar negara itu membenam Pakatan Harapan yang dikuasai DAP di negeri berkenaan.

Khalid sebelum ini merupakan Menteri Besar pertama yang dilantik selepas Pakatan Rakyat berjaya menguasai Selangor pada PRU Ke-12, sebelum kemudiannya dijatuhkan oleh "Langkah Kajang" selepas PRU ke-13.


"Langkah Kajang" yang dikepalai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dan direstui oleh "De Facto" PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim walaupun berjaya menggulingkan Khalid, namun gagal melantik Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS ketika itu yang menjadi sebahagian dari Pakatan Rakyat turut membantah cadangan DAP dan PKR untuk melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar, sebaliknya mencalonkan Azmin sebagai calon yang lebih sesuai.

Walau bagaimanapun, Sultan Selangor memperkenan Azmin dilantik sebagai Menteri Besar, sekaligus menyaksikan "Langkah Kajang" gagal memenuhi matlamat utamanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com