Misteri Kewujudan Telaga Tujuh Langkawi Kedah


Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi Kedah merupakan satu destinasi percutian yang harus anda lawati. Rugi jika anda tidak datang ke sini kerana dikatakan Telaga Tujuh ini mempunyai kisah misteri di sebalik kewujudannya. 

Untuk makluman pembaca setia Kedahnews, sebenarnya nama air terjun itu bukan nama telaga tujuh tetapi disebabkan lokasi air terjun tersebut berhampiran dengan Telaga Tujuh penduduk di sini menamakannya sebagai Air Terjun Telaga Tujuh. 


Tempat ini sangat popular dalam kalangan pelancong dari luar negara tetapi tidak popular dalam kalangan pengunjung tempatan mungkin disebabkan mereka sudah biasa dengan air terjun. 

Air Terjun Telaga Tujuh terletak di tebing Gunung Mat Cincang iaitu menghala ke Teluk Burau dan ketinggiannya mencapai 91 meter. Pendakian ke Air Terjun Telaga Tujuh mengambil masa kira-kira 45 minit hingga ke satu jam. 


Penat memang penat tetapi pendakian yang dilakukan akan terasa berbaloi apabila melihat sendiri kewujudan Telaga Tujuh di sekitar air terjun itu. Namun, pengunjung dinasihatkan agar berkelakuan baik dan tidak membuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan penjaga Telaga Tujuh tersebut. 

Menurut penduduk di sekitar kawasan tersebut, Telaga Tujuh merupakan tempat mandian tujuh orang puteri dari kayangan. Puteri-puteri tersebut amat suka akan kesejukan air perigi tersebut.

Seorang putera raja yang tinggal berhampiran air terjun ini dikatakan cuba menyunting salah seorang daripada ketujuh-tujuh puteri tersebut tetapi tidak berjaya. Pelbagai kesimpulan dan andaian yang dibuat oleh pengunjung dan penduduk di sekitar Telaga Tujuh tersebut. 

Namun, cerita-cerita yang disampaikan belum tentu betul dan mungkin juga Telaga Tujuh ini mempunyai kisah yang tidak dapat dirungkai oleh akal fikiran manusia. Wallahualam. Telaga Tujuh atau The Seven Well merupakan satu rangkaian tujuh telaga semulajadi yang airnya mengalir dari tujuh mata air. 


Telaga Tujuh dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau. Telaga Tujuh juga pernah mengeluarkan tujuh jenis air yang berlainan warna dan rata-rata yang berada di sana terus mengambil dan menyimpan airnya untuk dijadikan sebagai kenangan. 

Air daripada Telaga Tujuh turut dipercayai mempunyai kuasa menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Sesiapa yang ingin mengubati penyakit yang sukar untuk disembuhkan, bolehlah mengambilnya di perigi Telaga Tujuh ini. 


Walaupun Telaga Tujuh mempunyai kisah misteri di sebalik kewujudannya tetapi penduduk di sekitar tersebut sentiasa memantaunya supaya tidak ada sebarang kejadian khurafat dilakukan di telaga tersebut. 

Selain itu, mereka juga tidak mahu ada pihak yang menjadikan Telaga ini sebagai tempat pemujaan. Tempat-tempat seperti ini harus dipelihara dengan sebaik mungkin kerana kewujudannya mempunyai seribu satu makna kepada kehidupan manusia. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com