"Mereka Yang Di Luar PPBM Tak Tahu, Penyokong Juga Tak Tahu..."


ALOR SETAR - Propaganda di media sosial yang mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin mendapat sambutan hangat dikatakan hanyalah merupakan taktik untuk mengabui mata orang ramai, khususnya penyokong yang hanya melihat dari luar parti itu sahaja.

Satu sumber dalaman parti itu yang enggan dikenali menjelaskan bahawa punca-punca masalah yang didedahkan oleh pemimpin PPBM yang bertindak keluar parti adalah benar dan itulah antara perkara yang selama ini memusnahkan parti itu dari dalam.

"Mereka yang di luar tidak tahu, penyokong juga tak tahu. Hanya mereka yang ada jawatan saja yang tahu apa yang berlaku. Apa yang diperkatakan oleh bekas-bekas pemimpin PPBM yang keluar parti itu memang ada kebenaran sebenarnya.

"Hakikatnya, masalah-masalah itu semua sudah lama diperkatakan dalam parti, tapi tidak dipeduli oleh orang atas. Yang dibawah ini tertekan. Bersuara sikit, mungkin akan dicantas. Perkara sebeginilah yang merosakkan parti ini dari dalam.

"Seboleh-bolehnya, masalah ini cuba disembunyikan. Jika didedahkan pun, pasti akan ada yang tampil nafikan. Padahal, ianya benar-benar berlaku," kata sumber berkenaan yang difahamkan salah seorang pemimpin bawahan yang masih kekal bersama parti itu.

Menurut sumber itu, sebenarnya ramai di kalangan pemimpin bawahan dan ahli yang tahu tentang kemelut dalaman parti itu mahu bertindak keluar parti, namun terpaksa tidak berbuat demikian kerana enggan dituduh sebagai "pemakan dedak" dan sebagainya.

Katanya, hanya yang benar-benar cekal hati dan sudah tidak tahan saja yang akan bertindak keluar parti seperti yang dilakukan oleh sebilangan besar ahli parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Saya sendiri belum sanggup hadapi kecaman sebegitu. Ramai yang sudah tawar hati seperti saya, tapi mengenangkan bagaimana mereka yang keluar parti dikecam, kami diamkan diri.

"Nama saja ahli dan pemimpin bawahan, tapi kami sudah tiada hati lagi pada parti. Kecewa sangat dengan sikap yang diatas. Dulu ada orang ingatkan kami tentang perangai sebenar mereka, dan hari ini kami sendiri yang terkena," kata sumber itu, kesal.

Mengulas mengenai pemimpin yang dilantik pucuk pimpinan PPBM di peringkat Bahagian, sumber itu mendakwa kebanyakan yang dipilih itu tidak diselidik terlebih dahulu tentang latar belakang mereka.

Katanya, asalkan sanggup tunduk pada setiap arahan dan kemahuan pihak atasan yang berkepentingan, maka mereka akan dilantik sebagai Ketua Bahagian meskipun latar belakang mereka mampu menjejaskan imej parti.

"Yang dilantik itu ramai yang 'kepala-kepala masam'. Pucuk pimpinan pakai lantik saja, tak selidik latar belakangan terlebih dahulu. Padahal, mereka yang banyak bawa masalah dalam parti. Malu kami nak beritahu, tapi itulah punca pecah belah dalam PPBM," ujarnya.

Desas-desus di peringkat akar umbi PPBM sebelum ini mendakwa terdapat pemimpin dilantik yang terpalit dengan pelbagai masalah termasuk menceraikan isteri kerana tergila-gilakan perempuan lain dan ada pula wanita yang keluar berkempen untuk parti dalam tempoh edah.

Turut difahamkan bahawa PPBM sebenarnya tidak memiliki ahli yang ramai sebagaimana yang digembar-gemburkan di media sosial dan tindakan ribuan ahli serta pemimpin parti itu dijangka bakal memberi masalah besar kepada kepimpinan parti tersebut. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com