Menarik Di Pendang: Pekan Nat, Pasar Kemboja Paling Tular!


Menyebut tentang Pasar Kemboja, maka tidak dapat tidak, parti ramai orang Kedah yang terlintas tentang Pasar Kemboja Pendang yang dianggap antara destinasi popular yang "wajib" di kunjungi oleh "kaki shopping".

Tular atau tidak Pasar Kemboja yang terletak berhampiran tasik dan stadium mini di Pendang, ramai yang sanggup beratur panjang sejauh 1 km hingga 2 km, dan "melilau" mencari tempat letak kereta untuk ke sana.

Pernah berlaku kontroversi tentang Pasar Kemboja di Pendang yang dikatakan telah menafikan rezeki peniaga tempatan di sekitarnya sebelum ini. Sebagaimana yang berlaku di Pasar Kemboja di Parit Buntar, begitu juga insiden yang berlaku di Pendang.

Namun begitu, dek kerana permintaan hangat dari orang ramai termasuk orang Pendang dan majoriti peniaga tempatan sendiri yang mencari rezeki di tapak yang sama, Pasar Kemboja di Pendang ini tetap menjadi pilihan utama hingga kini.


Seawal jam 6 pagi lagi pada setiap Jumaat, deretan peniaga akan mula membuka tapak niaga masing-masing. Menariknya, seawal itu juga Pasar Kemboja Pendang itu menjadi tumpuan ramai. Mungkin ramai yang bertolak sesudah menunaikan solat subuh agaknya.

Bagi yang sampai awal, maka mereka dapatlah meletak kenderaan berhampiran dengan pasar. Namun bagi mereka yang tiba lewat, maka terpaksalah meletak kenderaan agak jauh dan "menapak" jauh untuk ke pasar popular ini.

Sebenarnya, Pasar Kemboja di Pendang ini "berkembar" dengan pasar pagi Pekan Pendang atau lebih dikenali sebagai "Pekan Nat Pendang" yang turut diadakan pada hari yang sama. Secara tidak langsung, semua pihak dapat "cari makan" bersama, bukan?


Masuk ke lokasi tapak niaga, orang ramai akan bertemu dengan Pekan Nat Pendang terlebih dahulu sebelum tiba ke Pasar Kemboja. Justeru itu, pengunjung disyorkan untuk berjalan secara santai, "mencuci mata" dengan pelbagai barangan menarik yang ditawarkan di pasar yang luas itu.

Pekan Nat Pendang menawarkan pelbagai aneka juadah makanan, terutamanya makanan untuk sarapan termasuk hidangan tradisional seperti apom lenggang, tepung talam, gedung cak, peneram dan banyak lagi.

Selain itu, bahan mentah dan basah yang turut ditawarkan di Pekan Nat Pendang adalah hasil tempatan seperti ikan darat, itik, nira nipah, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan (mengikut musim) dan banyak lagi.

Bila tiba di tapak Pasar Kemboja, jangan terkejut sekiranya melihat orang ramai begitu sesak membeli-belah sakan di situ. Meriahnya Pasar Kemboja di Pendang hinggakan kadang-kala dijemput artis popular untuk menggamatkan lagi suasana pagi Jumaat di daerah ini.


Namun begitu, usah risau. Tiada sebarang suasana tolak menolak mahupun hiruk pikuk yang keterlaluan. Bahkan suasananya tetap teratur meriah dan para pengunjung dapat membeli belah dalam keadaan selesa.

Apa yang istimewa di Pasar Kemboja Pendang hingga menjadi pusat tumpuan ramai? Seperti sedia maklum, sudah tentulah barangan paling popular yang ditawarkan adalah pakaian wanita. Bukankah wanita memang minatnya membeli-belah?

Mata golongan hawa pasti akan tertancap tajam, tergoda dengan deretan baju kurung pelbagai fesyen. Ada yang bermanik koran, ada yang polos elegant. Ada yang moden, ada yang tradisional. Sesuai untuk semua lapisan umur sama ada yang tua mahupun muda.


Selain itu, turut ditawarkan blouse-blouse yang beraneka warna dan corak terkini. Tidak kurang juga dengan busana muslimah beraneka rupa yang memikat hati. Skirt labuh dan kain pasang juga turut terhidang di depan mata untuk dipilih mengikut citarasa.

Kain tudung jangan cakaplah. Itu antara barangan paling laris dan menjadi pilihan pengunjung di Pasar Kemboja Pendang. Boleh juling mata dibuatnya, boleh jadi tidak keruan untuk memilih. Jika tidak dibeli, takut terbayang pula bila pulang ke rumah.


Untuk golongan lelaki, turut ditawarkan seluar jeans, kemeja, t-shirt, seluar sukan, tali pinggang dan banyak lagi. Rokok daun dan tembakau timbang pun ada. Juga ditawarkan pakaian harian kanak-kanak seperti baju tidur dan sebagainya.

Antara barangan lain yang popular ditawarkan adalah fabrik ibadah dan barangan lain seperti telekung wanita, kufiah (lebai), kasut, sandal, capal, karpet, tikar, cadar, sarung bantal, pinggan mangkuk dan lain-lain lagi.

Paling menarik, semua barangan yang ditawarkan sama ada di Pekan Nat Pendang dan Pasar Kemboja itu dijual dengan harga yang sangat murah dan berpatutan. Amat sesuai bagi mereka yang sering merungut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup sekarang.


Setelah sepagi hari "bersenam" sambil melewati Pekan Nat Pendang dan Pasar Kemboja, para pengunjung boleh merehatkan kaki masing-masing sambil menjamu selera di gerai makanan yang terdapat di situ. Jangan lupa pekena bihun sup, gerenti sedap! - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com