Menangkan BN Dulu, Baru Fikir Soal Pemilihan UMNO - Wanita Pokok Sena


ALOR SETAR - Wanita UMNO Negeri Kedah merayu para perwakilan daripada semua sayap parti memberi fokus semasa perhimpunan Agung UMNO 2017 minggu depan  ke arah persiapan terakhir bagi menghadapi  PRU14.

Lupakan seketika tentang pemilian jawatan di dalam parti jika ada yang ingin mengunakan pentas itu bagi mencari sokongan. Kemenangan UMNO/BN pada PRU14 lebih penting daripada pemilihan jawatan kuasa dalam UMNO.

"Apa guna kita menang jawatan dalam parti jika kuasa politik orang Melayu terlepas kepada parti pembangkang yang akan diketuai DAP, " kata Ketua Wanita UMNO bahagian Pokok Sena, Datin Salmah Mat Isa.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita UMNO negeri merayu perwakilan agar tidak mengambil kesempatan menggunakan PAU ini sebagai medan untuk berkempen untuk jawatan dalam parti. 

" Kasihani kami wanita yang menjelajah kampung setiap masa untuk menarik pengundi agar terus menyokong parti pada PRU14 ini, " kata Salmah yang pernah kecewa apabila BN Kedah tumbang kepada pembangkang pertama kali dalam sejarah pada PRU 2008 yang antaranya dikatakan berpunca daripada perebutan jawatan dan calon.

" Kali ini kita akan berdepan bukan sahaja dengan pakatan parti pembangkang seperti PRU 2013, tetapi juga berdepan dengan bekas pemimpin UMNO yang mahu melenyapkan UMNO dibumi ini walaupun UMNO telah menjulang mereka selama ini , " kata Salmah veteran Wanita Umno Negeri.

Namun katanya, pada PAU kali ini tiada lagi kelibat pemimpin yang menjadi 'duri dalam daging' UMNO dan pentas itu perlu digunakan untuk memperkukuh parti dan mencari solusi agar rakyat terus memberi keyakinan kepada UMNO untuk menerajui kerajaan.

Isu kenaikan harga barang dan GST yang terus-terusan dijadikan senjata oleh parti pembangkang untuk mempengaruhi rakyat membenci kerajaan perlu dimatikan segera dengan apa cara sekalipun, ujar Salmah

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim pula menyifatkan suasana PAU 2017 adalah berbeza dengan PAU sebelumnya kerana tiada lagi musuh dalam selimut yang mahu menjatuhkan pemimpin utama.

Beliau juga bersetuju agar perwakilan memberi tumpuan kepada PRU14 dan bukan turut menggunakan pentas itu bagi berkempen jawatan dalam parti.

Beliau yang juga Ketua Wanita Bahagian Alor Setar berkata, di negara ini wanita diberi kedudukan yang lebih baik daripada dahulu, mereka dihargai dan menjadi tulang belakang di dalam parti. 

Beliau berharap penghargaan itu sejajar dengan usaha mereka untuk membantu parti dan kerajaan hingga kerajaan yang diterajui UMNO mampu bertahan hingga ke hari ini.

Menurutnya, wanita tidak memberikan masalah yang banyak kepada parti dan sentuhan mereka di peringkat akar umbi menjadi lebih berkesan.

"Mereka menyelinap di setiap kampung untuk menabur bakti kepada rakyat daripada bermain politik, " ujarnya kepada Kedahnews mengenai persiapan Wanita dalam menghadapi PRU yang dijangka mencabar ini. 

Katanya, mereka telah membuat persiapan awal sejak tiga tahun lalu dan hingga kimi lebih 80 peratus pengundi telah ditemui di samping mencari pengundi baharu.

Rata-rata pengundi wanita mahu melihat masa depan untuk anak-anak dan negara lebih cerah. Dalam hal ini hanya kerajaan pimpinan UMNO/BN yang boleh memberi jaminan itu beradasarkan rekod kerja dan perkhidmatan semejak PRU pertama.

" Walaupun pembangkang juga berpengaruh, tetapi kerja baik kita, kebajikan yang UMNO dan kerajaan buat sentiasa diperhati oleh rakyat walaupun mereka tidak meluahkannya dengan terima kasih. Percayalah mereka menilai kita dari masa ke semasa, " ujar Sharifah Maznah.

Sehubungan itu beliau amat berharap PAU ini akan menyuntik semangat ahli UMNO termasuk para perwakilan untuk menangkis serangan buruk dan fitnah pembangkang bagi membuktikan BN  adalah parti pilihan terbaik untuk terus memerintah negara. - Kedahnews.com



.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com