Masih Tiada Kelibat Syafiq Ahmad Di Kem Latihan B-23 Kebangsaan


ALOR SETAR - Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mendedahkan bahawa penyerang Kedah, Syafiq Ahmad, 22, masih belum hadir menyertai kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya yang bermula Isnin lalu.

Menurutnya, Syafiq merupakan antara 30 pemain yang terpilih dalam persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari 2018.

"Setakat ini Syafiq masih belum melaporkan diri dan saya masih menunggu maklum balas daripada dia tentang situasi terbabit.

"Saya difahamkan dia (Syafiq) melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Dia sepatutnya hubungi kita tentang kehadirannya," kata Kim Swee ketika ditemui di padang Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Pengendali berusia 46 tahun itu berkata, untuk seketika ini beliau masih belum memikirkan tindakan yang patut diambil berhubung situasi terbabit.

Mengulas lanjut, jika Syafiq mengambil keputusan untuk bercuti berpanjangan, pastinya agak sukar untuk membawanya kembali serasi dengan pemain lain dalam masa singkat disamping mengembalikan kecergasannya.

"Namun, itu terpulang situasinya nanti. Saya akan bincang dengan pihak pengurusan sebelum memutuskan apa tindakan selanjutnya.

"Kalau ikut jadual, dia harus lapor secepat mungkin, jika gagal laporkan diri, kita akan buat keputusan dalam masa terdekat," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com