Makna Mencintai Rasulullah


APAKAH akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai?

Pertama, pastinya perilaku kita, sama ada fikiran, perasaan dan tindakan akan dipengaruhi oleh apa serta siapa yang dicintai tersebut. Kedua, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti individu itu.

Begitulah juga bukti cinta yang harus ditonjolkan kepada penghulu segala nabi iaitu Nabi Muhammad SAW. Mencintai Rasulullah perlu dijadikan paksi dalam kehidupan seharian. Natijahnya, di mana sahaja pasti orang membicarakan tentang kemuliaan Baginda.

Kita akan menggabungkan diri dengan orang yang mencintai Rasulullah. Sudah tentu, akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan Rasulullah, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekeh Baginda.

Hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajari. Kita harus menyemai rasa cinta kepada utusan Allah itu terlebih dahulu ke dalam lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri.

Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah akan membangkitkan gerakan untuk meneladani Rasulullah.

Mencintai Rasulullah menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai Baginda lebih daripada segala sesuatu, bahkan kepada diri sendiri.

Justeru, hari kelahiran Nabi Muhammad atau Maulidur Rasul disifatkan ‘hari Allah’ yang bersejarah dalam Islam dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: “...dan peringatlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah).” (Ibrahim: 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW. Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Mengingati Rabiulawal, bulan kelahiran Nabi Muhammad pada tahun ini seharusnya menjadi titik tolak kesedaran umat Islam terutama di negara ini bagi memperkukuh perpaduan dan meningkatkan iman, takwa serta amal soleh.

HAYATI SIRAH RASULULLAH

Jika kita mengimbas kembali perjuangan Rasulullah dengan niat mencontohinya dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari, Rasulullah tidak pernah menyatakan dirinya memiliki sifat manusiawi yang terhebat.

Mendapat wahyu itulah yang membezakan Baginda dengan manusia lain. Tetapi, perlu diingat bahawa Muhammad mendapat wahyu kerana Baginda adalah manusia agung dan berbudi pekerti yang luhur.

Kecenderungan untuk memperingati hari kelahiran Muhammad secara besar-besaran diperkenal di Mesir semasa era Fatimiyah (H969-H1171). Ini kerana golongan Fatimiyah menganggap diri mereka sebagai keturunan Nabi melalui puterinya Fatimah.

Seorang sarjana Jerman, Annemarie Schimmel dalam bukunya And Muhammad is His Messenger (Dan Muhammad adalah Utusan Allah) menyatakan dalam keadaan darurat, seseorang Muslim mungkin menyangkal keyakinannya kepada Allah, tetapi sekali-kali dia tidak akan bersedia mengutarakan kata-kata yang tidak baik apalagi penghinaan terhadap Nabi-Nya.

Nabi Muhammad adalah utusan Allah yang terakhir. Dengan amanat dibawa, Baginda merupakan pewujudan nyata daripada sifat Rahman dan Rahim Allah terhadap hamba-Nya, bahkan merupakan penyempurnaan daripada semua kenikmatan yang telah diberikan kepada sekalian penghuni alam.

TELADAN TERBAIK

Menerusi syariat yang dibawa, telah membuktikan diri Baginda sebagai potret teladan yang mampu menyatukan umat manusia bangsa Arab, khususnya pada waktu itu dalam satu wadah dan panji kebenaran Islam.

Ketampanan lahiriah terserlah pada wajah Rasulullah. Tetapi ketampanan lahiriahnya tidak lain adalah cermin keindahan dan kemuliaan batinnya, sebab Allah telah menciptakan Baginda dengan kesempurnaan dalam akhlak dan moral.

Pastinya golongan Barat, yang dibesarkan dengan tertanam kebencian terhadap Nabi Muhammad akan terkejut apabila mengetahui bahawa dalam semua catatan, akhlak yang terutama ditekan dalam diri Nabi adalah kerendahan hati dan kebaikannya.

Malah Imam al-Ghazali menyebutkan tentang kecenderungan Nabi untuk ketawa. Jenakanya yang lembut terlihat daripada beberapa kisah Islam awal. Antaranya seperti:

“Suatu hari seorang wanita tua bertubuh kecil datang kepada Rasulullah dan menanyakan apakah wanita tua yang menyedihkan seperti dirinya itu juga akan masuk syurga. Tidak, kata Nabi, Tidak akan ada wanita tua di syurga! Dan kemudian, melihat kesedihan pada wajahnya, Nabi meneruskan sambil tersenyum: Mereka akan diubah semuanya di syurga, sebab di sana hanya akan ada usia muda untuk semua penghuninya!”

Bagaimanapun, hanya membicarakan dan memperkata tentang Nabi Muhammad sama sekali tidak akan menambah keagungan Baginda, jika sifat-sifat terpujinya tidak sedikit pun diraih oleh umat manusia.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com