"Makan Dedak, Itu Sajalah Modal Depa.." - Bekas Ahli PPBM


ALOR SETAR - Bekas akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertindak keluar parti membidas pasukan propaganda parti itu yang kekeringan modal melabel mereka yang meninggalkan parti tersebut sebagai "pemakan dedak".

Tegas bekas ahli PPBM itu, pemimpin dan pasukan "cybertroopers" parti itu bagaikan tidak ada modal lain untuk menjejas imej mereka yang meninggalkan parti tersebut selain dari gelaran berkenaan.

"Makan dedak, itu sajalah modal depa. Dah tak ada modal lain lagi dah. Jika tak sehaluan dengan depa saja, terus dilabel 'makan dedak'," katanya menyindir gerakan propaganda parti itu yang begitu aktif memain peranan menghina sesiapa yang menentang PPBM.

Bekas ahli parti yang menyertai parti itu sejak mula ia ditubuhkan berkata, berkemungkinan mereka itulah sebenarnya yang "makan dedak" kerana lazimnya hanya mereka yang berbuat demikian sahaja yang akan menuduh orang lain sebegitu.

Katanya yang hanya mahu dikenali sebagai "Ali", dia pada mulanya menyertai PPBM kerana menyangka parti itu lebih mendengar masalah dan suara akar umbi yang berjuang, namun ia hanyalah satu perjuangan yang palsu semata-mata.

"Saya tidak pernah ada parti. Saya bukan ahli UMNO. PPBM yang pertama saya sertai.

"Saya ingatkan parti itu mendengar pandangan orang bawah dan terbuka memperjuang asprirasi kita, rupa-rupanya depa hanya mahukan kuasa, nak jadi Adun, Ahli Parlimen, nak jadi Menteri hinggalah ke jawatan Perdana Menteri.

"Depa tak ambil tahu pun apa yang berlaku di bawah ini. Bergaduh sakan di sana sini. Sampai nak jadi ketua cawangan, AJK cawangan pun bergaduh? Memalukan betul," ngomel Ali menceritakan pengalamannya setahun lebih bersama parti itu.

Walau bagaimanapun, Ali tidak menafikan pemimpin PPBM dibarisi oleh pemimpin yang popular di mata rakyat di negara ini dan ia dilihat mampu mengabui orang ramai tentang agenda sebenar yang diperjuangkan parti itu.

"Kita tak boleh nak nafi. Nama Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad), (Dato' Seri) Mukhriz Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin Yasin memang popular di media sosial.

"Tapi mereka hanya popular sahaja. Popular kerana pernah berjasa sebelum ini. Tapi sekarang perjuangannya berbeza dari dulu. Ada agenda tersembunyi, ada udang di sebalik batu.

"Popular saja tidak memadai. Mereka perlu ikhlas berjuang untuk kita rakyat di bawah. Bukan ada agenda, kroni dan kepentingan pihak tertentu," ujarnya.

Ditanya tentang "agenda tersembunyi" itu, Ali enggan memberi jawapan yang jelas, sebaliknya meminta supaya mereka yang terpengaruh menyokong parti itu supaya menyiasat sendiri tentang kepincangan yang berlaku di dalam parti tersebut.

"Siasat sendiri. Buka mata terang-terang. Saya bukan sekali terkena, sudah berkali-kali terkena. Buka saja mulut, terus kena 'cantas. Baru nak beri pandangan, dilabel 'makan dedak'.

"Padahal, saya dan kawan-kawan sayalah yang banyak bergerak kempen untuk parti. Bukan di Facebook saja, kami masuk kampung sana sini berkempen. Cukuplah, selamat tinggallah PPBM," katanya yang tidak lagi yakin pada bekas partinya itu.

Krisis dalaman yang melanda PPBM kini kian meruncing apabila ramai pengasas, pemimpin pertengahan, pemimpin akar umbi dan ahlinya yang bertindak nekad meletak jawatan dan mengisytihar keluar parti.


Masalah demi masalah yang berlaku di dalam parti serpihan UMNO itu kian terserlah termasuk kegagalan pengurusan PPBM yang dikatakan gagal menganjurkan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan hanya dihadiri oleh 12 ahli sahaja.

Perbalahan, perebutan jawatan dan permusuhan yang tercetus akibat mahu menjadi calon pilihan raya juga dikatakan menyumbang kepada pepecahan dalam parti itu selain daripada begitu hebat mengamalkan budaya fitnah serta kronisme sesama mereka.

Selain itu, PPBM juga sebelum ini diberi kata dua oleh Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya cepat mengadakan AGM yang sah dan diberi amaran supaya tidak melanggar perlembagaan parti yang memungkinkan ia gagal disahkan sebagai parti berdaftar.

Beberapa pemerhati politik juga menjangka pemimpin PPBM berkemungkinan besar akan bertanding di bawah bendera Parti Amanah Negara (PAN) pada PRU ke-14 nanti sekiranya parti tersebut "diharamkan" oleh RoS. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com