Mahathir "Senjata" Diperguna Raih Undi Untuk Pakatan Harapan


ALOR SETAR - Kelibat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan "senjata ampuh" untuk dipergunakan Pakatan Harapan untuk meraih undi orang Melayu, khususnya di kawasan luar bandar.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, selain dapat meyakinkan pengundi Melayu luar bandar, Mahathir juga mustahak untuk ditonjol bagi mendapatkan undi dari ahli dan penyokong UMNO.

"Tun Mahathir juga mustahak dalam meyakinkan pengundi Melayu luar bandar dan ahli/penyokong UMNO untuk mengundi HARAPAN (Pakatan Harapan)," katanya memetik kenyataan di laman Facebooknya.


Beliau berkata demikian dipercayai mengulas mengenai cadangan untuk melantik Mahathir dan Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi pihak Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, Saifuddin tetap menegaskan bahawa calon paling tepat untuk dinobatkan sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan adalah Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, beliau akur mengatakan bahawa Anwar masih tidak dapat dicalonkan buat masa ini ekoran kekangan hukuman penjara dan tempoh dua tahun selepas hukuman sebelum beliau dibenarkan untuk bertanding pilihan raya.

"Siapakah calonnya? Yang terbaik ialah DSAI (Anwar). Tapi beliau tak dapat dicalonkan sekarang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan Pakatan Harapan meletakkan calon lain untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, Saifuddin berkata beliau terbuka kepada sebarang perbincangan berhubung hal itu.

"Bagaimana dengan calon lain - iaitu yang lebih muda, tapi tetap mengekalkan kombinasi Tun Mahathir-Anwar? Ini boleh dibincangkan" ujar Ketua Sekretariat Pakatan Harapan itu.

Mahathir sebelum ini pernah memberitahu dunia tentang Anwar yang beliau anggap seorang pemimpin tidak bermoral kerana terlibat mengamalkan salah laku seks luar tabii yang memalukan negara.

Anwar ketika krisis politik 1998 itu berlaku menuduh Mahathir mengamalkan budaya kronisme dan nepotisme yang tebal dalam pentadbirannya serta berikrar untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com