Lebih 21,000 Pesakit Kronik, Buah Pinggang Menunggu Penderma Organ


KUALA LUMPUR - Terdapat seramai 21,778 pesakit kronik dan mengalami kegagalan organ tahap akhir, berada dalam senarai menunggu derma organ kebangsaan sehingga 31 Okt lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam berkata daripada jumlah itu sebahagian besar adalah pesakit buah pinggang, melibatkan 21,759 orang manakala yang lain adalah lapan orang pesakit hepar, empat orang pesakit jantung, tiga orang pesakit paru-paru dan empat orang memerlukan kedua-dua jantung dan paru-paru.

“Bilangan pengikrar derma organ selepas kematian yang mendaftar sehingga 31 Okt pula adalah seramai 401,242 orang.

“Walaupun bilangan pengikrar derma organ semakin meningkat, ia mewakili hanya 1.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia pada ketika ini,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Chandra Mohan S.Tambirajah yang ingin tahu berapa jumlah pesakit kronik dan jumlah penderma yang telah mendaftar di Pusat Sumber Transplan Nasional.

Subramaniam berkata pelbagai usaha dalam mempertingkatkan bilangan penderma organ telah dibuat sejak kementerian itu memperkenalkan Pelan Strategik Kempen Kesedaran Pendermaan Organ 2012.

Beliau berkata antaranya ialah menyasarkan golongan muda sebagai sasaran utama bagi memastikan pendermaan dalam jangka masa panjang selain usaha berterusan menangani persepsi yang kurang tepat dalam kalangan masyarakat dari aspek agama dan budaya berhubung salah faham pendermaan organ selepas kematian.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com