Krisis Dalaman PPBM Kedah Dijangka Membarah Hingga Menjelang PRU Ke-14?


ALOR SETAR - Kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri Kedah dijangka akan terus berlarutan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung pada suku pertama tahun depan.

Menurut sumber dalaman parti berkenaan, semakin ramai yang tidak dapat lagi menahan sabar dengan kepincangan yang berlaku di dalam parti itu dan gagal diselesaikan dengan baik serta adil oleh pucuk pimpinan parti serpihan UMNO tersebut.

"Jika dilihat pada trend yang berlaku dalam parti kami sekarang, dijangka makin ramai yang akan keluar parti.

"Sekiranya tiada sebarang perubahan atau tindakan drastik dari pucuk pimpinan terutamanya yang diatas, berkemungkinan ia akan berterusan hingga menjelang PRU ke-14 nanti," kata sumber kepimpinan akar umbi berkenaan.

Menurut sumber itu, rata-rata ahli PPBM di peringkat akar umbi sudah tawar hati dengan apa yang berlaku di dalam parti tersebut dan pucuk pimpinan dianggap hanya mementingkan kepentingan kroni tertentu sahaja.

Katanya, terdapat pelbagai masalah yang berlaku di peringkat pertengahan dan bawahan parti yang tidak diendahkan pucuk pimpinan yang sering memberi alasan 'sibuk' pada setiap kali masalah-masalah tersebut diajukan.

"Ia bukan soal perjuangan. Kita semua berjuang. Tapi malangnya perjuangan kita ini dipandang rendah. Kenal kita pun tidak, inikan pula hendak ambil tahu. Padahal, kamilah yang selama ini menggerakkan parti di Kedah.

"Sebelum ini kami sabar, kami hormat. Tapi nampaknya kami tidak dihargai. Mulut saja sebut 'menghargai', tapi tindakannya langsung tidak.

"Pengurusan lingkup, keahlian makin lingkup, kebajikan apatah lagi. Depan orang ramai bukan main lagi, tapi orang tak tahu bagaimana kami dipergunakan untuk kepentingan dan populariti mereka," keluh pemimpin akar umbi PPBM yang enggan dikenali itu.

Krisis dalaman yang melanda PPBM kini kian meruncing apabila ramai pengasas, pemimpin pertengahan, pemimpin akar umbi dan ahlinya yang bertindak nekad meletak jawatan dan mengisytihar keluar parti.

Masalah demi masalah yang berlaku di dalam parti serpihan UMNO itu kian terserlah termasuk kegagalan pengurusan PPBM yang dikatakan gagal menganjurkan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan hanya dihadiri oleh 12 ahli sahaja.

Perbalahan, perebutan jawatan dan permusuhan yang tercetus akibat mahu menjadi calon pilihan raya juga dikatakan menyumbang kepada pepecahan dalam parti itu selain daripada begitu hebat mengamalkan budaya fitnah serta kronisme sesama mereka.

Selain itu, PPBM juga sebelum ini diberi kata dua oleh Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya cepat mengadakan AGM yang sah dan diberi amaran supaya tidak melanggar perlembagaan parti yang memungkinkan ia gagal disahkan sebagai parti berdaftar.

Beberapa pemerhati politik juga menjangka pemimpin PPBM berkemungkinan besar akan bertanding di bawah bendera Parti Amanah Negara (PAN) pada PRU ke-14 nanti sekiranya parti tersebut "diharamkan" oleh RoS. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com