Korea Selatan, AS Lancar Latihan Ketenteran Terbesar


SEOUL – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan latihan ketenteraan bersama terbesar hari ini, kata para pegawai, seminggu selepas Korea Utara menyatakan ia telah menguji peluru berpandu paling canggih sebagai sebahagian daripada program senjata yang telah meningkatkan ketegangan.

Latihan tahunan antara AS dan Korea Selatan, dikenali Vigilant Ace, sehingga Jumaat ini melibatkan enam pesawat pejuang stealth, F-22 Raptor, yang merupakan antara 230 pesawat yang mengambil bahagian, lapor Reuters.

Korea Utara yang menyifatkan latihan tersebutsebagai provokasi turut mengutuknya.

Pesawat F-35 juga menyertai latihan itu, membabitkan penyertaan sebahagian besar pesawat generasi kelima, menurut jurucakap tentera udara AS yang berpengkalan di Korea Selatan.

Kira-kira 12,000 anggota tentera AS, termasuk marin, tentera laut akan menyertai tentera Korea Selatan. Pesawat yang mengambil bahagian akan diterbangkan dari lapan lokasi ketenteraan AS dan Korea Selatan.

Laporan media Korea Selatan menyatakan pesawat pengebom B-1B Lancer akan menyertai latihan itu pada minggu ini. Jurucakap tentera udara AS tidak dapat mengesahkan laporan tersebut.

Latihan bersama itu dilakukan bagi meningkatkan persediaan dan keupayaan operasi selain memastikan keamanan dan keselamatan semenanjung Korea, kata tentera AS sebelum latihan bermula.

Latihan itu dilancarkan seminggu selepas Korea Utara berkata ia telah melakukan ujian peluru berpandu balistik antara benua paling canggih sebagai bantahan terhadap sekatan dan kutukan antarabangsa.

Pyongyang menyalahkan Presiden AS, Donald Trump terhadap peningkatan ketegangan dan memberi amaran latihan Vigilant Ace akan meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea, menurut media milik Korea Utara. 

Sumber– MalaysiaGazette

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com