Kerugian BNM RM31.5 Bilion Akibat Tukar Forex, Mahathir Relakan Tindakan Menteri Kewangan - RCI


Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga forex pada 1990-an percaya bahawa perdana menteri ketika itu merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu yang mengakibatkan bank pusat mengalami kerugian berjumlah RM31.5 bilion.

Suruhanjaya itu juga berpandangan menteri kewangan ketika itu sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

Suruhanjaya juga berpandangan bahawa terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan Tahunan BNM tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus niaga forex dari 1992 hingga 1994, menurut suruhanjaya lima anggota diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam laporan 524 muka surat yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Laporan itu menyebut perdana menteri ketika itu turut dimaklumkan oleh menteri kewangan bersama dengan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada penghujung 1993 bahawa BNM mengalami kerugian akibat urus niaga forex pada tahun 1992 dan 1993 berjumlah RM30 bilion.

Bagi tempoh yang dinyatakan dalam laporan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan.

Keputusan suruhanjaya itu, yang turut dianggotai Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon dan Pushpanathan S.A. Kanagarayar, dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Suruhanjaya itu berpendapat bahawa terdapat bukti daripada inkuiri itu yang mencadangkan kemungkinan wujudnya kesalahan-kesalahan pecah amanah (CBT) ke atas dana kepunyaan BNM mengikut Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan oleh individu yang terlibat secara langsung dalam urus niaga forex itu, terutamanya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang dilihat mempunyai kawalan penuh dan bertanggungjawab dalam urus niaga forex.

Laporan itu menyebut walaupun beliau mendominasi dana BNM dan dilihat mempunyai kebebasan dalam urus niaga forex, beliau tidak mungkin dapat melaksanakan urus niaga berkenaan dalam tempoh yang lama tanpa kelulusan langsung atau tidak langsung daripada pihak atasan dan/atau individu lain yang mempunyai kuasa.

Suruhanjaya itu berkata ia telah meneliti liabiliti bersama individu-individu berkenaan di bawah Seksyen 34 atau Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan boleh dikaitkan sebagai mempunyai niat yang sama atau bersubahat.

"Individu-individu yang termasuk dalam kategori ini adalah timbalan gabenor, gabenor, lembaga pengarah BNM, menteri kewangan dan perdana menteri," menurut laporan itu.

Berikutan inkuiri terbuka ke atas 25 saksi dan mengambil kira pelbagai bukti dokumen yang relevan, suruhanjaya itu mempunyai alasan kukuh untuk membuat kesimpulan bahawa BNM mengalami kerugian berjumlah RM31,5 bilion akibat urus niaga forex pada 1992, 1993 dan 1994.

"Kerugian besar itu memberi kesan negatif yang signifikan ke atas ekonomi di mana ia telah menjejaskan peluang untuk kerajaan dalam membangunkan negara," jelas laporan itu, dan menambah, kerugian itu turut merencatkan keupayaan BNM untuk melaksanakan mandat sebagai bank pusat negara.

Laporan itu menarik perhatian bahawa kerugian berkenaan disembunyikan menggunakan kaedah perakaunan yang tidak konvensional seperti menggunakan pelbagai akaun rizab dalam kunci kira-kira untuk merekodkan kerugian.

Satu lagi mekanisme yang digunakan adalah meningkatkan nilai kunci kira-kira melalui pindahan saham daripada kerajaan untuk mengakaunkan kerugian serta mewujudkan Perbelanjaan Tertunda yang dilunaskan dalam masa 10 tahun.

"Tiada tindakan lanjut diambil oleh menteri kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (sebagai Ahli Lembaga Pengarah) walaupun telah dimaklumkan oleh Ketua Audit Negara mengenai kerugian berkenaan dan kaedah perakaunan yang luar biasa," menurut laporan itu.

Suruhanjaya itu melaporkan bahawa cabutan minit daripada tiga mesyuarat Jemaah Menteri yang masing-masing diadakan pada 30 Mac, 6 April dan 13 April 1994, merekodkan menteri kewangan merangkap timbalan perdana menteri ketika itu telah mempengerusikan mesyuarat pada 30 Mac 1994, di mana tiada maklumat berkenaan kerugian sebenar sebanyak RM12.3 bilion untuk tahun 1992 dan sejumlah RM15.3 bilion untuk tahun 1993 dimaklumkan. Kerugian yang dilaporkan pada 1993 adalah sebanyak RM5.7 bilion sahaja.

Perdana menteri ketika itu yang mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 April 1994 tidak memperbetulkan atau memohon penjelasan lanjut apabila kerugian urus niaga forex bagi 1993 yang dilaporkan pada ketika itu berjumlah RM5.7 bilion.

"Suruhanjaya mendapat bukti bahawa beberapa individu daripada BNM, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara termasuk Lembaga Pengarah BNM dan menteri kewangan mempunyai maklumat berkenaan kerugian sebenar urus niaga forex dan terlibat dalam menyembunyikan kerugian sebenar dalam urus niaga forex BNM itu.

"Oleh yang demikian, mereka sepatutnya dipertanggung bersama ke atas kesalahan berkenaan," kata suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu berpandangan, berdasarkan fakta dan situasi yang dikemukakan dalam inkuiri itu, terdapat asas untuk mencadangkan satu siasatan rasmi dijalankan bersabit kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah CBT dan/atau penipuan oleh mereka dan perdana menteri ketika itu dalam menjalankan urus niaga forex secara spekulatif dan/atau menyembunyikan maklumat kerugian urus niaga forex daripada Jemaah Menteri dan Parlimen.

-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com