Kerugian BNM RM31.5 Bilion Akibat Forex Pada 1990an Beri Kesan Buruk Ekonomi Negara


Kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an telah memberi impak negatif kepada ekonomi negara yang mana ia telah menafikan negara peluang-peluang pembangunan, demikian kata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Suruhanjaya itu membuat kesimpulan bahawa BNM telah menanggung kerugian akibat urus niaga mata wang asing pada 1992, 1993 dan 1994 dan nilai kerugian bagi ketiga-tiga tahun itu berjumlah RM31.5 bilion.

"Terdapat bukti daripada dokumen dan keterangan saksi-saksi untuk membuktikan BNM telah melakukan aktiviti dagangan spekulatif bagi keuntungan," kata RCI yang mengumumkan laporan penemuan itu hari ini.

Sebagai sebahagian daripada siasatan itu , suruhanjaya menjalankan siasatan terbuka terhadap 25 saksi iaitu kakitangan BNM yang ada sekarang dan yang dahulu serta bekas anggota kakitangan awam dan pentadbiran.

Suruhanjaya itu juga berpendapat terdapat penyembunyian yang disengajakan kerana laporan tahunan BNM tidak menyatakan kerugian sebenar yang ditanggung daripada urus niaga mata wang asing antara 1992 dan 1994.

-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com