Kastam Kedah Tahan 4 Lelaki Miliki 19,320 Tin Minuman Keras


ALOR SETAR - Empat lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 50-an ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana disyaki memiliki 19,320 tin minuman keras pelbagai jenama yang belum lulus kastam dengan nilai keseluruhan RM244,468 termasuk cukai, minggu lalu.

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, kesemua individu terbabit ditahan di dua daripada empat lokasi berbeza dalam serbuan yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa dari negeri Kedah di sekitar Menglembu dan Ipoh, Perak pada Rabu lalu.

“Serbuan pertama dilakukan pada pukul 7.45 petang di sebuah premis di Persiaran Perindustrian, Chandan Raya 1/1, Kawasan Perindustrian Chandan Raya, Menglembu. Di situ kami menemukan sebuah lori dengan muatan 150 karton atau 3,600 tin minuman keras dan menahan seorang lelaki berusia 40-an.

“Tidak berapa lama selepas itu, anggota penguatkuasaan dapat mengesan sebuah lagi lori berisi 250 karton berisi 6,000 tin minuman keras dan menahan tiga lagi lelaki dipercayai kenalan suspek pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Negeri Kedah, semalam.

Sorotan dari penahanan itu, serbuan diteruskan di dua buah rumah kosong yang terletak di Taman Rasi Jaya, Menglembu dan Taman Pengkalan, Ipoh.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 180 karton atau 4,320 tin minuman keras diletakkan di rumah pertama manakala di rumah kedua, anggota kami menemukan 225 karton atau 5,400 tin barangan terlarang itu,” katanya.

Tambahnya, kesemua minuman keras itu dianggarkan berjumlah 9,739.68 liter.

“Bersandarkan siasatan awal, kami percaya kegiatan ini dijalankan secara bermusim terutamanya menjelang sambutan krismas tidak lama lagi dan kami kini giat menjalankan operasi bagi membanteras perkara itu,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan kali pertama, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dari nilai barang serta tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika sabit kesalahan untuk kali kedua dan seterusnya, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com