Individu Mohon Maaf Fitnah Kedah Terima Rasuah, Nidzam Belum Boleh Terima


ALOR SETAR - Penolong jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mendedahkan masih belum boleh menerima permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan berhubung tuduhan rasuah ke atasnya.

Lanjutan itu, beliau akan berbincang dengan peguamnya, Datuk Iszam Kamal Ismail sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Saya tidak boleh menyatakan apa langkah yang akan diambil kerana kes ini sudah saya serahkan kepada peguam. Saya akan berbincang dengan beliau serta meminta pandangannya sebelum membuat keputusan.

"Tapi secara peribadi saya menganggap tuduhan ini fitnah yang terlalu berat. Implikasinya amat besar ke atas diri serta karier saya.

"Ia bukan saja memburukkan reputasi saya malah boleh menutup periuk nasi saya sebagai jurulatih. Mungkin pada masa akan datang, kalau ada pasukan yang mahu menawarkan saya, mereka akan membatalkan niat itu berikutan tuduhan rasuah ini.

"Walaupun terlalu marah kerana tidak dapat menerima kekalahan Kedah, janganlah sampai menabur fitnah yang boleh memusnahkan karier orang lain," kata Nidzam.

Kecoh sebelum ini apabila Nidzam menjadi antara tujuh individu yang dipalit dengan tuduhan fitnah selepas kalah 0-2 Kedah kepada Johor Darul Ta'zim pada final Piala Malaysia 4 November lalu 

Si Pelaku, Ridzwan melalui akaun Facebook menuduh tanpa sebarang bukti terhadap Nidzam serta enam pemain Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan ketua pasukan, Khairul Helmi Johari sebagai individu yang terbabit rasuah dalam perlawanan akhir itu.

Ekoran daripada tuduhan keterlaluan itu Nidzam membuat laporan polis di Balai Polis USJ, Subang Jaya pada 9 November. 

Kemudiannya pada 18 November yang lalu peguamnya memberi tempoh 14 hari kepada Ridzwan untuk muncul memberi keterangan di mana-mana balai polis.

Rentetan isu itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan daripada Nidzam serta enam pemain berkenaan.

Semalam, Ridzwan memuat naik video menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada Nidzam dan enam pemain itu.

Melalui video berdurasi 2:48 minit itu, Ridzwan berkata, dia sudah membuat laporan polis untuk menafikan dakwaannya ke atas semua individu berkenaan.

"Saya memohon maaf atas kenyataan itu kepada penama-penama yang saya sebutkan. Semoga permohonan maaf ini diterima oleh mereka bertujuh, seterusnya dapat menjernihkan keadaan," ujar Ridzwan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com