Hutang Punca Lelaki Di Sungai Petani Mati Ditikam, Kereta Dibakar


ALOR SETAR – Kes bunuh seorang lelaki di belakang sebuah rumah di Lorong Fairuz 3, Taman Arked, Sungai Petani, Isnin lepas, berpunca daripada hutang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata kes bunuh tersebut selesai selepas seorang suspek berumur 19 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik pada 12.18 tengah hari, semalam.

Beliau berkata hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat secara langsung dalam kes berkenaan.

Kejadian berlaku bermotifkan hutang apabila suspek dikatakan telah berhutang dengan mangsa sebanyak RM2,000.

“Mangsa merupakan pemberi pinjaman wang dan polis sedang mengesan senjata apa yang digunakan suspek ketika menikam mangsa kerana semasa pemeriksaan badan terhadap suspek tersebut, polis tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang bekerja sebagai penjual ikan itu tidak mempunyai rekod lampau.

Kes yang disiasat di bawah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu telah membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk suspek terbaharu

Terdahulu, mangsa berusia 25 tahun yang beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang itu ditemui mati dengan kesan tikaman pada bahagian dada dan cedera pada muka serta tangan yang dipercayai akibat pergelutan sebelum itu.

Polis menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu pada jam 3.07 petang dengan memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui meninggal dunia di belakang rumah itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com