Helah "Sembunyi" Suami Terbongkar


TUJUH belas tahun suaminya 'disembunyikan' dalam rumah semata-mata untuk membuat tuntutan palsu mencecah hampir £80,000.

Janet Pritchard, berpura-pura berstatus ibu tunggal dan mengemukakan tuntutan palsu antara 1998 hingga 2015.

Sepanjang tempoh itu juga, wanita berusia 54 tahun itu tinggal bersama suaminya, David serta anak-anak mereka di kediaman sama.

Pendakwa raya, Steven Donoghue berkata: "Dia mendakwa dirinya ibu tunggal dan mempunyai anak, tetapi sebenarnya dia tinggal bersama suami dan anak-anaknya.

"Tuntutan yang dikemukakan termasuk faedah berkaitan cukai dan anak-anak. Bagaimanapun, akhirnya helahnya terbongkar."

Menurut Donoghue lagi, antara dokumen yang ditemui di kediaman pasangan itu adalah akaun bank bersama, akaun gas dan elektrik, selain perjanjian pinjaman yang dijelaskan menggunakan akaun bank bersama itu.

"Sepanjang tempoh tuntutan itu juga suaminya hanya meletak kenderaannya di depan rumah dan tidur di kediaman itu.

"Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak menyangka jumlah tuntutannya mencecah angka yang tinggi," katanya.

Mahkamah Newport mendapati tuntutan palsu itu sebanyak £79,865.25.

Pritchard mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu itu.

Bagaimanapun wanita itu terlepas daripada tindakan dipenjara selepas menggadai kediamannya dan memperoleh £7,000 untuk menjelaskan jumlah tuntutan yang diterima sepanjang tempoh 17 tahun itu.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com