Hati-Hati Taktik Baharu Scammer Jadi 'Orang' Pos


SHAH ALAM - Pos Malaysia menggesa orang ramai untuk tidak menjawab sebarang panggilan atau pesanan suara yang kononnya dibuat oleh talian pos 1-300-300-300 yang meminta data peribadi bagi tujuan penghantaran.

Pesanan ringkas itu dikongsikan oleh pihaknya menerusi perkongsian di Facebook rasmi Pos Malaysia Berhad, baru-baru ini.

Difahamkan, ia dibuat bagi melindungi pelanggannya daripada diperdaya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini tular seorang pengguna media sosial yang mendakwa hampir diperdaya oleh seseorang menyamar dan mengaku sebagai kakitangan Pos Malaysia.

Menurut individu terbabit, dia menerima suatu panggilan dan bercakap dengan seseorang yang mengaku daripada Pos Malaysia yang cuba menyampaikan surat miliknya ke alamat rumahnya.

Menurutnya, 'kakitangan' Pos Malaysia itu pada mulanya mendesak si pemilik surat untuk memberikan nombor kad pengenalan sebelum menyatakan surat yang mahu dihantar adalah surat daripada bank.

'Kakitangan' tersebut juga dengan 'baik hati' akan menawarkan khidmat membukakan surat pemilik, selain membacakan isi surat yang mengandungi sejumlah tunggakan bayaran daripada bank.

Pihak tidak bertanggungjawab itu juga memintanya menghubungi seseorang yang dipercayai boleh membantunya menyelesaikan masalah tersebut.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum memberikan sebarang maklumat peribadi kepada mana-mana pihak.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pegawai khidmat pelanggan kami di talian 1300-300-300 atau emelkan kepada care@pos.com.my

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com