Gunung Berapi Bali Reda, Namun Amaran Dikekalkan


BALI - Gunung Agung di pulau peranginan Indonesia Bali semalam mereda dan hanya mengeluarkan asap sulfurik yang nipis.

Menurut jurucakap Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Nugroho, amaran gunung berapi di zon pengecualian sejauh 10 kilometer dikekalkan pada tahap tertinggi namun Bali kini diisytihar sebagai selamat.

"Tiada letusan direkodkan buat masa ini," tambah beliau.

Susulan itu lapangan terbang antarabangsa Bali kembali beroperasi seperti biasa selepas ditutup selama tiga hari minggu lepas.

Ini berikutan abu dan asap tebal daripada gunung itu yang boleh menjejaskan darjah penglihatan dan keselamatan penerbangan menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Pihak berkuasa meningkatkan amaran kepada tahap tertinggi pada 27 November lalu dan mengarahkan hampir 100,000 penduduk berpindah selepas gunung itu meletus selama dua hari berturut-turut.

Lebih daripada 60,000 mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Gunung Agung setinggi 3,031 meter itu meletus selama hampir setahun pada 1963 dan 1964 yang meragut seramai 1,200 nyawa.

Indonesia terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik yang terkenal dengan kejadian gempa bumi dan gunung berapi aktif.

Terdapat 127 gunung berapi yang aktif di seluruh Indonesia. 

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com