Google Arah 10,000 Kakitangan Pantau Kandungan YouTube


LONDON - Enjin pencarian terkemuka, Google, menyediakan 10,000 kakitangan untuk memantau kandungan ekstremis dalam YouTube susulan kritikan baru-baru ini, kata Ketua Eksekutif laman perkongsian video itu, Susan Wojcicki, kepada akhbar Daily Telegraph.

Wojcicki mengaku 'anasir jahat' menggunakan laman web itu untuk 'mengelirukan, memanipulasi, mengganggu atau membahayakan.'

Perdana Menteri Britain, Theresa May, mengenakan tekanan ke atas Google untuk membuang bahan radikal atas talian susulan siri pengganas, manakala YouTube, minggu lalu menarik balik 150,000 video kanak-kanak selepas ulasan lucah mengenainya disiarkan oleh penonton.

Wojcicki mendakwa syarikatnya membangunkan teknologi 'mempelajari komputer' untuk mengenal pasti video pelampau, dan boleh digunakan untuk mengenali kandungan yang memberi risiko kepada keselamatan kanak-kanak.

"Kami akan terus membesarkan pasukan kami, dengan matlamat menjadikan jumlah keseluruhan kakitangan Google berusaha menangani kandungan yang melanggar dasar kami kepada lebih 10,000 pada 2018," katanya.

Tindakan minggu lalu untuk membuang kandungan disyaki dibuat selepas akhbar Britain melaporkan iklan bagi jenama terkenal disiarkan bersama-sama video kanak-kanak atau remaja, mengundang ulasan penonton yang ada unsur paedofilia.

Laporan media menunjukkan keadaan itu menyebabkan pengiklan merungut, malah sebahagiannya menggantung iklan YouTube. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com