Filipina Arah Hentikan Penjualan Vaksin Denggi


MANILA - Filipina mengarahkan syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi, menghentikan penjualan, pengedaran dan pemasaran vaksin denggi, Dengvaxia, di negara itu selepas syarikat berkenaan memberi amaran ia mungkin menjadikan penyakit itu bertambah teruk.

Tindakan dibuat beberapa hari selepas negara Asia Tenggara itu menggantung program kerajaan memberi imunisasi kepada ratusan ribu kanak-kanak dengan Dengvaxia susulan hasil kajian dibuat Sanofi yang disiarkan minggu lalu.

"Dalam usaha melindungi orang awam, Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) segera mengarahkan Sanofi menggantung penjualan, pengedaran, pemasaran Dengvaxia dan menyebabkan penarikan semula vaksin itu dalam pasaran selari dengan arahan arahan FDA," kata agensi kerajaan dalam kenyataan di laman web yang disiarkan baru-baru ini.

FDA juga mengarahkan Sanofi mengadakan kempen penyebaran maklumat, dan berkata semua syarikat ubat perlu melaporkan sebarang kejadian yang menunjukkan Dengvaxia menyebabkan kematian atau sakit serius kepada sesiapa sahaja.

Pegawai Sanofi berkata semalam, ada laporan kematian berkaitan vaksin itu yang digunakan untuk tujuan imunisasi hampir 734,000 kanak-kanak berusia sembilan tahun dan ke atas di Filipina.

Mereka menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin itu sebagai sebahagian program kerajaan yang menelan belanja 3.5 bilion peso (RM280 juta).

Dengvaxia, vaksin denggi yang pertama diluluskan, diramalkan Sanofi memberi pulangan hampir AS$1 bilion (RM4.05 bilion) dalam jualan tahunan. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com