Fatah Jumpa PM, Hamas Jumpa TPM, Malaysia Terus Jadi Harapan Rakyat Palestin


ALOR SETAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Malaysia terus menjadi harapan bagi rakyat Palestin untuk mendesak dunia menghentikan kezaliman dan penindasan yang berlaku di negara mereka yang dijajah rejim yahudi zionis Israel.

Dalam dua pertemuan semalam, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat oleh parti tunjang negara itu, Fatah, manakala Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula bertemu dengan wakil pejuang Palestin, Hamas.

Hasil dari pertemuan tersebut, Mohd Najib menegaskan bahawa Malaysia yang sebelum ini berpendirian tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara turut mengecam keras tindakan Amerika Syarikat (AS) yang bercadang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara rejim zionis tersebut.


Membantah keras cadangan pengiktirafan kenyataan Presiden AS, Donald Trump, Perdana Menteri Malaysia itu juga menegaskan pendirian Malaysia yang menolak cadangan yang membangkitkan kemarahan seluruh umat Islam dunia tersebut.

"Jadinya, minggu ini apabila kita dikejutkan dengan cadangan AS untuk mengiktiraf satu daripada tiga Tanah Suci umat Islam, yakni Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Saya yakin dan percaya, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.

"Saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, mengajak pimpinan parti, perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana saja anda berada, untuk bangun.

"Dan menzahirkan pendirian kita selantang-lantangnya, agar dunia dengar gema suara umat Islam Malaysia. Kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila," tegas beliau.

Mohd Najib berkata, berkait soal itu juga, beliau senada dengan Dr Ahmad Zahid, bahawa Malaysia perlu "buta warna" dalam hal kemanusiaan.

"Sebab itulah, kita mempraktikkan amalan bermusyawarah dalam UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah keluarga besar.

"Bagai dimadah Melayu lama, jika tidak sebanyak, sedikit pun jadilah jua. Satu perjuangan bukan saja dari suara umat Islam Malaysia, malahan suara kemanusiaan dunia yang diwakili kerajaan Malaysia pimpinan UMNO.

"Dengan parti PAS pula, pendirian kita amat jelas iaitu hubungan kita dengan mereka adalah terasas demi kepentingan ummah, sekali pun pandangan politik tetap berbeza," katanya. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com