Dua Slot ACL Bagi Musim 2019,2020 Kekal Milik Malaysia


DUA slot ke saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) bagi musim 2019 dan 2020 kekal menjadi milik Malaysia meskipun berdepan kontroversi penarikan diri pasukan Pahang daripada saingan Piala AFC bagi musim hadapan.

Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John yang menjelaskan slot 1+1 buat pasukan dari Malaysia ke saingan berprestij benua Asia itu langsung tidak terjejas memandangkan kelayakan sudah diputuskan menerusi kedudukan ranking terkini kelab AFC.

“Penarikan diri Pahang tidak memberi apa-apa kesan kepada slot yang sudah ditawarkan bagi dua musim itu. Hanya slot Piala AFC bagi musim hadapan sahaja yang terjejas memandangkan ia tidak akan diberikan kepada pasukan lain selepas Pahang mengambil keputusan untuk menarik diri.

“Apapun, dua slot ini hanya diberikan untuk musim 2019 dan 2020 sahaja dan tidak ada jaminan pasukan daripada Malaysia akan terus bertanding dalam kejohanan itu.

“Jadi, kita perlu meneliti ranking terbaharu pada masa itu bagi menentukan sama ada Malaysia akan terus kekal mendapat dua slot untuk menyertai kejohanan terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Malaysia memperolehi slot 1+1 ke saingan ACL berdasarkan senarai ranking kelab AFC yang terbaru apabila mengatasi Hong Kong dengan kelebihan 0.266 mata untuk menduduki tangga ke-13 selepas mengumpul 29.300 mata.

Windsor menjelaskan sebahagian besarnya adalah hasil keputusan yang dilakar Johor Darul Ta’zim sejak beberapa tahun lalu dengan pencapaian mereka dilihat memberi impak yang besar terhadap kutipan mata dalam ranking.

Antara kejayaan terbesar yang diraih pasukan Harimau Selatan itu adalah ketika berjaya mencipta sejarah muncul pasukan Asia Tenggara pertama yang merangkul Piala AFC selepas menundukkan kelab Tajikistan, Istiklol FC di pentas akhir Piala AFC 2015.

Akhbar semalam turut melaporkan teka-teki mengenai kedudukan Pahang dalam saingan Piala AFC 2018 akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tetap dengan pendirian untuk menolak mewakili Malaysia musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, juara Liga Super, JDT akan menjadi wakil tunggal negara bersaing di kejohanan kedua tertinggi antara kelab Asia itu selepas saingan ACL.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com