DoJ Sudah Tidak Lagi Berminat Teruskan Saman 1MDB - Pakar Perundangan AS


PIHAK Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) tidak melihat ada keperluan untuk terus melakukan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata pakar perundangan dan peguam, Thomas Goldstein.

Peguam yang berpengalaman sebagai pengamal di Mahkamah Agung negara itu mendakwa DoJ cuma melakukan  pengambilalihan aset yang dikatakan konon ada kaitan dengan wang yang digelapkan daripada akaun 1MDB.

“Malahan setakat ini tiada sebarang tindakan pun terhadap 1MDB, tetapi hanya siasatan ke atas aset yang disangkakan sebagai diperoleh secara tidak sah dengan menggunakan wang milik syarikat itu.

“Berdasarkan aduan individu tertentu, DoJ hanya mengesan aliran pergerakan wang berkenaan yang difikirkan ada kaitan dengan dana 1MDB. Buat masa ini, tiada sebarang cadangan siasatan jenayah,” kata Thomas.

Ini bermakna secara legal, tiada sebarang tindakan undang-undang diambil oleh DoJ terhadap 1MDB, sebaliknya hanya ke atas aset yang disyaki telah diperoleh dengan mengguna wang milik 1MDB.

Beliau menyatakan demikian ketika tampil menyampaikan ceramah bertajuk ‘Litigasi Jenayah di AS’ di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, semalam.

Menurut Thomas, berdasarkan kepada perlembagaan AS sendiri tiada pihak yang akan dilucutkan aset atau dirujuk juga dengan istilah perundangan sebagai perlucuthakan; tanpa melalui proses undang-undang ditetapkan.

Bahkan kesemua prosiding pelepasan aset ini perlu dijalankan melalui prosedur pengemukaan dan pendengaran dengan adil demi memastikan pihak yang tidak bersalah daripada menjadi mangsa teraniaya.

Pengakuan Thomas itu selari dengan kenyataan dikeluarkan oleh pihak DoJ sendiri pada Jun lalu bahawa rampasan harta kononnya berkait kepada 1MDB hanyalah berdasarkan daripada aduan tanpa asas dan khabar angin.

Portal propembangkang sebelum ini mendakwa kesemua barangan rampasan tersebut didakwa konon sebagai milik daripada hartawan dari Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.


Pelucuthakan aset sivil difailkan terhadap aset individu itu sendiri termasuk pangsapuri mewah, kapal layar, serta beberapa lagi barangan lain yang kini digantung oleh pihak DoJ untuk sementara waktu.

Pemimpin pembangkang sejak tahun lalu menjadikan 1MDB sebagai bahan kempen politik mereka konon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘curi’ dana daripada sayap pelaburan strategik kerajaan itu secara senyap.

Pendedahan terbaharu Thomas ini sekali gus membuktikan kes 1MDB yang difailkan kepada DoJ oleh pihak tertentu propembangkang dari negara ini sebenarnya tiada asas untuk diteruskan lagi.

“Ini kerana dibimbangi dengan meneruskan saman pelucuthakan, ia mungkin memberi ‘kesan buruk’ ke atas keupayaan untuk menjalankan proses siasatan jenayah secara adil.

“Apa yang pihak DoJ mungkin boleh lakukan ketika ini adalah cuba menghalang wang ini daripada hilang dengan memulakan siasatan jenayah,” kata Thomas lagi.

Beliau yang juga merupakan pensyarah mata pelajaran Litigasi Mahkamah Agung di Universiti Harvard dan Universiti Stanford menegaskan bahawa DoJ cuma berminat dengan sumber wang pembelian aset-aset di AS.

“Ia bukan kes jenayah dan pertuduhan terhadapnya hanya akan membuatkan tugas sukar kepada mereka (DoJ) kerana tiada precedent (rujukan pendahuluan kes).

“Tiada siapa pun telah dinamakan dalam saman pelucuthakan tersebut. Sekiranya sebuah kes jenayah dikemukakan, maka ia akan menjadi kes jenayah biasa.

“Beban pembuktian pula akan jatuh ke atas DoJ untuk membuktikan di luar keraguan munasabah bahawa sebuah jenayah telah pun dilakukan,” tambah Thomas. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com