Ditangkap Semula Selepas Dua Hari Keluar Penjara


KUALA TERENGGANU - Baru dua hari dibebaskan dari penjara kerana hukuman kesalahan jenayah curi motosikal dan pecah rumah, salah seorang ahli kumpulan ‘kecek’ ditahan sekali lagi selepas didapati terlibat dalam kes mencuri motosikal, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, suspek berusia 19 tahun itu ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

“Siasatan mendapati suspek yang merupakan salah seorang ahli kumpulan ‘kecek’ ini masih terlibat dalam beberapa kes mencuri motosikal yang dilaporkan sebelum ini memandangkan kumpulan tersebut bergiat aktif mencuri motosikal di sekitar Marang.

“Polis terpaksa menahan sekali lagi suspek meskipun baru dibebaskan dari penjara pada 30 November lalu selepas selesai menjalani hukuman kerana kesalahan sebelum ini untuk siasatan lanjut” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.

Fazlisyam berkata, sebelum ini, kumpulan’ kecek’ ini yang aktif mencuri motosikal dan pecah rumah di Marang berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya enam suspek berusia antara 16 hingga 20 tahun Febuari lalu.

Dalam masa sama, Fazlisyam berkata, pihaknya akan sentiasa memantau individu-individu memiliki rekod jenayah lampau di bawah Poca dalam usaha memastikan indeks jenayah di negeri ini menurun.

“Polis tidak mahu lagi melihat individu sama mengulangi jenayah sama dan susulan itu juga, polis akan sentiasa membuat pemantauan rapi terhadap individu tersenarai bagi memastikan indeks jenayah di negeri ini sentiasa menurun dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fazlisyam mengingatkan mangsa banjir di negeri ini agar sentiasa memastikan keselamatan kediaman masing-masing sekiranya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan bagi mengelak daripada berlakunya jenayah pecah rumah semasa banjir.

“Bermula 28 November lalu iaitu hari pertama banjir melanda negeri ini sehinggalah hari ini (semalam), polis tidak menerima sebarang laporan daripada balai polis berhampiran berhubung jenayah pecah rumah melibatkan mangsa banjir.

“Bagaimanapun, polis ingin mengingatkan orang ramai terutamanya mangsa banjir memastikan pintu dan tingkap kediaman masing-masing dikunci dengan baik sebelum meninggalkan rumah untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir berhampiran,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com