Ditahan Ketika Cuba Pecah Masuk Kedai Makan Di Kuala Kedah


ALOR SETAR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis yang melakukan rondaan bersama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Isnin lalu, berjaya menahan seorang lelaki yang sedang leka cuba memecah masuk sebuah kedai makan di Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggota polis dan ATM yang sedang melakukan rondaan 11.45 pagi di kawasan terbabit ternampak suspek berusia 32 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan di belakang kedai makan terbabit.

“Suspek yang menggalas beg hitam didapati sedang mengumpil jeriji tingkap kedai makan itu.

“Suspek turut bertindak agresif ketika cuba ditahan. Pemeriksaan dalam beg dibawanya menemui pelbagai peralatan pecah rumah,” katanya dihubungi semalam.

Menurut Mohd Rozi, siasatan lanjut mendapati suspek yang tidak bekerja turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi motosikal.

“Suspek direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun keseksaan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com