Dicalon PM Pakatan, Mahathir Berpeluang Pecah Rekod Dunia Tewaskan Mugabe


ALOR SETAR - Tun Dr Mahathir Mohamad bakal memecah rekod sebagai Perdana Menteri paling tua dalam dunia apabila namanya dipilih sebagai calon Perdana Menteri "sementara" sekiranya Pakatan Harapan menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Keputusan menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan itu dicapai dalam sesi pemukiman blok empat parti gabungan yang belum diiktiraf oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail turut dinamakan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri bagi gabungan parti politik pembangkang yang dikuasai oleh DAP itu.

"PPBM, PAN dan DAP sudah bersetuju, hanya PKR belum mendapatkan kata sepakat kerana ingin dibincangkan di peringkat biro politik parti itu," menurut sumber yang enggan dikenali seperti yang dipetik dari portal berita, Malaymailonline.

Walau bagaimanapun, mereka berdua dilaporkan hanya menyandang jawatan itu buat "sementara waktu" tanpa ditentukan tempohnya dan dipercayai bagi menunggu Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan DiRaja setelah menjalani hukuman penjara.

Laporan itu juga tidak menyebut secara muktamad siapakah ahli politik yang akhirnya memegang jawatan tersebut kelak kerana amalan lazimnya hanya parti politik memiliki kerusi terbanyak selepas PRU dapat menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya menjadi realiti, Mahathir bakal dinobatkan sebagai pemimpin kerajaan paling tua di dunia, sekali gus beliau melayakkan beliau disenaraikan dalam Malaysia Book of Records selain Guinness World Records mengatasi sabahatnya, Robert Mugabe.

Mugabe yang turut dikenali sebagai diktator paling tua berkuasa itu berusia 93 tahun sebelum digulingkan tentera di negaranya, manakala Mahathir akan genap 93 tahun pada 10 Julai depan, sekali gus mengatasi Ratu Elizabeth II di Britain yang berumur 91 tahun.

Ketika ini DAP yang pernah digelar Mahathir sebagai "cauvinis" dan "rasis", mempunyai jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat dan dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menang dengan bilangan konsisten pada PRU kelak.

Ia adalah jauh berbeza dengan PKR, PAN dan PPBM yang diramal pemerhati politik tanah air bakal tewas teruk kepada calon BN dan PAS pada PRU ke-14 nanti.

Namun begitu, sekiranya pemimpin DAP tidak dilantik sekali pun sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan, parti itu dikatakan bakal jadi "suara penentu" kepada dasar negara sekiranya gabungan pembangkang itu membentuk kerajaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com