Demi Masa Depan Perikanan Negara, Pelan Strategik Dirangka


ALOR SETAR - Pelan Strategik Jabatan Perikanan, Pelan Pengurusan Perikanan dan Rangka Kerja MyKomuniti Perikanan adalah tiga dokumen penting dibangunkan Jabatan Perikanan untuk mendepani cabaran dalam industri terbabit.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pelan berkenaan juga menggambarkan komitmen Jabatan Perikanan untuk merangka masa depan termasuk mengubah mentaliti masyarakat perikanan khususnya para nelayan.

Ujar beliau, kementerian pada dasarnya ingin membangunkan masyarakat perikanan yang berdaya saing, moden dan bersedia meneroka apa saja peluang.

"Antara peluang yang ada ialah memberi nilai tambah pada hasil tangkapan dengan menghasilkan produk sampingan. Bagaimanapun, proses itu membabitkan penggunaan teknologi dan proses yang tersusun," katanya yang dipetik MyMetro.

Beliau berucap demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan 100 M #myDOF Jabatan Perikanan Malaysia dan melancarkan tiga pelan pengurusan di Putrajaya, semalam.

Turut hadir sama, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi.

Tambah Tajuddin, apabila kualiti produk dipertingkatkan, ia boleh pasarkan lebih luas di peringkat tempatan atau luar negara.

Jelas beliau, secara keseluruhannya, industri perikanan negara sudah mencapai 93 peratus Tahap Sara Diri (SSL) dan ia berjaya dipenuhi hasil komitmen tinggi jabatan dan kementerian.

Pada masa sama, Munir berkata, Pelan Strategik Jabatan Perikanan sudah dikaji semula dan diperkasakan selaras dengan momentum bagi merealisasikan sasaran ditetapkan menjelang 2020.

"Menerusi Dasar Agromakanan 2020, industri perikanan mensasarkan kadar pertumbuhan permintaan ikan dari 1.9 juta tan metrik pada 2016 kepada 3.02 juta tan metrik pada 2020," ujarnya.

Kata Munir, Pelan Pengurusan Perikanan pula dirangka bagi mengurus sumber perikanan selain menjadi medium menyelesaikan isu berbangkit seperti ketirisan dan pengurangan stok ikan di laut.

Menurutnya, Rangka Kerja MyKomuniti Perikanan pula untuk menyediakan konsep penyatuan dan penambahbaikan program yang dilaksanakan jabatan dengan komuniti perikanan pantai dan darat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com