Cubaan Warga Emas 'Seludup' Beg Berisi 200 Lipas Hidup Gagal


GUANGDONG - Pegawai kastam di sebuah lapangan terbang di China terkejut apabila membuka sebuah beg mengandungi 200 ekor lipas yang masih hidup.

Beg itu milik pasangan warga emas yang cuba membawa masuk lipas-lipas berkenaan ke dalam penerbangan di Lapangan Terbang Baiyun di Guangdong.

Menurut laporan Beijing Youth Daily yang dipetik BBC, pihak berkuasa menyedari sesuatu yang 'pelik' menerusi mesin pengimbas X-ray sebelum memeriksa beg yang dibawa masuk sebagai 'hand-carry'.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila menjumpai beg plastik putih dengan ratusan lipas di dalamnya.

"Pada 25 November, penumpang berkenaan membawa satu bekas dan kami menyedari ada 'pergerakan' apabila ia melalui mesin pengimbas.

"Seorang pegawai kami terkejut apabila membukanya dan seekor lipas berjaya melepaskan diri," kata Xu Yuyu, seorang pegawai keselamatan.

Pasangan itu dikatakan membawa lipas berkenaan untuk membuat krim bagi merawat kulit si isteri.

Memandangkan organisme hidup tidak dibenarkan dibawa menaiki pesawat, pasangan berkenaan terpaksa meninggalkan beg tersebut.

Namun tidak diketahui apa yang dilakukan pihak kastam ke atas lipas-lipas berkenaan.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com