"Coklat PM" Antara Paling Laris, Sold Out Di #PAU2017


Coklat mini bersaiz poket memaparkan imej bekas Presiden UMNO dan barisan perdana menteri antara produk jualan yang mencuri tumpuan dan antara paling laris pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017.

Coklat bar jenama Ryverra & Confectionery itu ditawarkan dengan enam wajah pemimpin negara dengan keunikan setiap daripada satu jenisnya dikatakan mempunyai perisa tersendiri yang berbeza.

Bagi wakil syarikat, Norshiah Ahiddin, 29, coklat bertemakan kepimpinan itu diperkenalkan bagi menerapkan semangat cinta dan sentiasa hormati bekas-bekas pemimpin negara.

“Setiap bungkusan coklat yang memaparkan wajah keenam-enam pemimpin negara kita sejak zaman merdeka sehingga kini itu mempunyai perisa yang jelas berbeza.

“Contohnya, bungkusan yang memaparkan wajah Pak Lah ada perisa berasaskan kismis, Tun Abdul Razak pula hazelnut dan Datuk Seri Najib Tun Razak ‘original,” katanya kepada media semalam.


Menurutnya lagi, konsep yang diketengahkan menerusi coklat bar ini menggabungkan paparan tarikh durasi jawatan yang disandang oleh setiap presiden UMNO.

Ini sekali gus menarik minat golongan kanak-kanak untuk lebih mengenali bekas pemimpin daripada zaman Tunku Abdul Rahman pada 1957 sehingga era Najib sejak 2009.

Ditanya mengenai sambutan pengunjung, Norshiah menjelaskan coklat yang memaparkan wajah Najib adalah paling laris dan amat dicari pengunjung khasnya perwakilan parti.

“Sepanjang tiga hari berlangsung PAU, coklat ‘berperisa’ Najib paling cepat sold out, kita pun tak sangka ia dapat sambutan luar jangkaan,” katanya yang turut mengatakan lebih 1,000 unit telah habis dijual.

Sementara itu wajah coklat ‘Mahathir’ yang kini berpaling tadah menyertai blok pembangkang pula menurutnya turut mendapat sambutan namun ia tidak sehebat coklat berwajah perdana menteri terkini.


Sepaket coklat berkenaan dijual pada harga RM3, namun untuk PAU 2017, pengguna boleh mendapatkan harga keenam-enam coklat berkenaan dengan hanya RM10.

Turut dijual secara ekslusif set bungkusan coklat yang bermotifkan bendera dan logo parti. Dengan pembelian dua set akan diberikan percuma sebuah lagi set coklat.

“Set istimewa ini harga kebiasaanya adalah RM15, tapi untuk perhimpunan kali ini, kita buat promosi beli dua set dapat percuma satu lagi set coklat,” katanya.

Pengunjung boleh mendapatkan coklat ‘pemimpin UMNO’ ini di ruangan jualan aras tiga di gerai 114, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com